Masjid, surau di Perak sumbang lebih RM370,000 untuk Palestin
IPOH - Semua masjid dan surau di Perak berjaya mengumpulkan RM371,105 sumbangan khusus untuk membantu rakyat Palestin yang diserang tentera zionis Israel.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, usaha yang dirintis JAIPk menerusi kutipan derma untuk Tabung Kecemasan dan Kemanusiaan bagi penduduk Palestin bermula sejak 17 Mei iaitu pada 5 Syawal lalu membuahkan hasil.
Menurutnya, jumlah kutipan tersebut membuktikan keprihatinan umat Islam di negeri ini terhadap nasib saudara seagama yang berdepan cabaran besar mempertahankan Masjid Al-Aqsa.
"Kempen ini telah digerakkan bersama malah menerusi khutbah Jumaat pada 21 Mei lalu kita terus uar-uarkan sumbangan ini sebagai usaha menginfakkan sebahagian harta yang dimiliki untuk manfaat saudara kita di Palestin.
"Terima kasih di atas keprihatinan umat Islam dan pihak pengurusan masjid serta surau di negeri ini. Walaupun berada dalam situasi pandemik Covid-19 dan kehadiran jemaah yang dihadkan, namun jumlah kutipan diterima amat memberangsangkan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sementara itu, Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abd Farid Salleh berkata, sumbangan tersebut menunjukkan solidariti umat Islam di negeri ini terhadap rakyat di Palestin.
Katanya, jumlah kutipan tersebut amat besar dan hampir menyaingi jumlah kutipan kemanusiaan yang pernah dilancarkan sebelum ini seperti untuk Rohingya, Syria dan sebagainya ketika sebelum pandemik Covid-19.
"Dalam keadaan jumlah jemaah yang terhad pun kita mampu mendapat jumlah sebanyak ini dan ia membuktikan betapa umat Islam di negeri ini sangat mengambil berat terhadap rakyat Palestin.
"Kita akan terus bersama rakyat Palestin untuk membantu mereka mempertahankan Masjid Al-Aqsa," katanya.
Menurutnya, di Masjid Sultan Idris Shah II iaitu Masjid Negeri Perak merupakan penyelaras bagi kutipan tabung berkenaan dan ia membabitkan lebih 600 masjid serta surau di negeri ini.
Beliau berkata, jumlah kutipan keseluruhan di Masjid Negeri Perak adalah berjumlah RM8,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!