'Syukur dapat balik anak saya'- Siti Suriani
SHAH ALAM - “Tak tergambar perasaan bila tertukar anak. ALLAH, syukur dapat balik anak saya. Betul la firasat ibu tepat, rasa sayang tu lain bila dapat balik anak sendiri.”
Demikian luahan seorang usahawan produk kosmetik, Siti Suriani Wahiddin atau lebih dikenali sebagai Siti Jamumall apabila anak keduanya yang baru lahir tertukar dengan bayi lain pada Sabtu.
Beliau juga turut memuat naik satu lagi video berdurasi 20 minit 38 saat di Facebook Jamumall.com untuk memaklumkan beliau sudah menemui bayinya itu.
Menerusi perkongsian tersebut, wanita berusia 22 tahun itu berkata, ibu yang membawa pulang anaknya, Putra Aiman Zhafran terus bergegas ke hospital setelah mendapat panggilan daripada pihak hospital swasta, di sini pada Sabtu.
“Puan Dianah ketika itu dah pulang ke rumahnya dua hari lepas (Jumaat). Kemudian dapat panggilan daripada pihak hospital bagitahu anak tertukar. Terus dia dan suaminya ke hospital.
“Mereka juga tak perasan yang itu bukan anak mereka. Tak check tag kat kaki bayi,” katanya.
Mengulas lanjut, Siti Suriani berkata, pasangan tersebut baru sahaja mendapat cahaya mata pertama dan bersalin melalui kaedah caesarean.
“Mula-mula saya tanya juga Puan Dianah ada tak jumpa dengan bayi dia selepas bersalin. Dia bagitahu sempat jumpa sekejap je. Kemudian, lepas dapat balik bayi tu dia rasa macam pelik. Tapi saat tu dia fikir mungkin muka bayi mudah cepat berubah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau turut melahirkan rasa syukur dan gembira apabila anak kandungnya dapat kembali ke pangkuannya semula.
“Saya gembira dan sujud syukur sangat dapat anak saya balik. Terima kasih yang mendoakan. Saya juga ucap terima kasih kepada Dianah sebab jaga anak saya dengan baik. Dia dan suaminya dah anggap anak saya macam anak kandung mereka,” luahnya dengan sedikit nada sebak.
Dalam pada itu, Siti Suriani berkata, pihak hospital terbabit berasa sangat bersalah dengan insiden yang berlaku malah cuba meredakan keadaan.
“Kami ibu bapa memang tak cakap apa dah sebab masing-masing terkesima. Nak marah lagi la. Apa kami fikir masa tu nak dapat bayi kami je.
“Tapi apa yang pihak hospital buat, mereka cuba redakan keadaan. Panggil kami masuk bilik, jumpa dulu bincang macam mana,” katanya.
Beliau turut meminta supaya pihak hospital tersebut bertanggungjawab sekiranya berlaku apa-apa kepada bayinya.
“Saya minta sangat pihak hospital bertanggungjawab sebab anak saya tak dapat rawatan lebih daripada 24 jam. Anak saya pun kuning agak tinggi. Tapi saya cuba bagi susu secukupnya. Harap esok (Ahad) buat check up tak kuat la bacaan kuning dia,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Wanita terkejut bayi tertukar di hospital
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!