Tujuh ditahan berhibur di pusat hiburan
KOTA KINABALU - Tujuh individu termasuk empat wanita ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam Op Noda di sebuah premis pusat hiburan di Jalan Pantai awal pagi Ahad.
Dalam operasi jam 1.40 pagi itu, enam pengunjung dan seorang penjaga premis berusia antara 17 hingga 54 tahun ditahan dalam serbuan yang dilakukan oleh cawangan Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Dalam operasi itu, tiga daripadanya adalah warga asing yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, manakala tiga lagi positif dadah.
Pegawai Turus D7 IPK Sabah, Deputi Superintendan Alhusin Halil berkata, pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan beroperasi dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP yang ditetapkan.
"Pemeriksaan lanjut di salah sebuah bilik pusat hiburan itu terdapat empat wanita bersama dua lelaki dan proses pemeriksaan dokumentasi mendapati seorang lelaki serta dua wanita adalah bukan warganegara.
"Semua ditahan mengikut Perkara 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak menjaga penjarakan sosial, mengunjungi pusat hiburan dan tidak mengimbas MySejahtera,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Alhusin berkata, penjaga premis pula disiasat mengikut Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam (PEO) 1958 kerana beroperasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!