Thailand longgar sekatan, buka semula Phuket kepada pelancong

Phuket bakal menyambut kedatangan pelawat asing yang sudah divaksin dari negara berisiko rendah mulai 1 Julai.
Phuket bakal menyambut kedatangan pelawat asing yang sudah divaksin dari negara berisiko rendah mulai 1 Julai.
A
A
A

BANGKOK - Bangkok akan melonggarkan sekatan Covid-19 bermula Isnin sementara pulau peranginan Phuket bakal menyambut kedatangan pelawat asing yang sudah divaksin dari negara berisiko rendah mulai 1 Julai.

Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha berkata, keputusan itu diambil selepas pertimbangan sewajarnya dibuat memandangkan wabak di Bangkok 'terkawal' manakala 70 peratus penduduk tempatan di Phuket, terutama yang terbabit dalam sektor pelancongan sudah menerima vaksin masing-masing.

Prayuth menerusi Facebooknya berkata, lima jenis perniagaan di Bangkok dan tempat-tempat seperti muzium, taman awam, klinik dan salun kecantikan dan pusat urut (hanya untuk urutan kaki) akan dibuka semula.

Namun, menurutnya tempat-tempat berkenaan akan ditutup semula jika didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Pada 31 Mei lalu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengumumkan muzium, pusat pembelajaran, taman sains, galeri seni dan tempat bersejarah, salun tatu, kuku dan klinik kecantikan/pelangsingan, taman botani dan bunga bakal dibuka mulai 1 Jun. Namun, Prayuth berkata beliau memerlukan tempoh dua minggu untuk menilai keadaan.

Mengenai Phuket, ujar Prayuth di bawah program “Phuket Sandbox” pelancong asing yang telah divaksin tidak perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari, tetapi perlu berada di pulau itu selama 14 hari sebelum melakukan perjalanan ke wilayah lain.

"Phuket Sandbox" berfungsi sebagai model untuk destinasi pelancongan di wilayah lain termasuk Chiang Mai, Chon Buri (Pattaya), Krabi, Phang Nga dan Surat Thani (Koh Samui) yang dijangka dibuka bermula Oktober.

Bagaimanapun, pelan itu perlu mendapat kelulusan Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dan kabinet terlebih dahulu yang masing-masing akan bermesyuarat pada 18 dan 22 Jun.

Artikel Berkaitan:

Sebelum Phuket memutuskan untuk membuka semula pusat peranginan itu kepada pelawat asing, ramai dalam kalangan mereka membantah syarat menginap 14 hari sebelum mereka dibenarkan ke wilayah lain.

Menteri Pelancongan dan Sukan, Pipat Ratchakitprakarn berkata, lebih 50 peratus daripada 29,700 warga asing yang merancang untuk mengunjungi pulau itu telah membatalkan hasrat mereka selepas kerajaan mengenakan syarat berkenaan.

Katanya, kementerian memohon tempoh sebulan untuk menilai pelaksanaannya, jika tiada jangkitan dilaporkan sepanjang tempoh itu, pihaknya akan mencadangkan syarat berkenaan dikurangkan kepada tujuh hari bermula di Phuket sebelum diperluaskan ke wilayah lain.

Sementara itu, sejak 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 2,804 kes baharu Covid-19 termasuk 924 di Bangkok dan 18 kematian.

Setakat ini, Thailand mencatatkan sejumlah 195,909 kes dan korban seramai 1,449 orang.

Dalam satu kenyataan, CCSA berkata, kes baharu melibatkan 2,743 penularan tempatan termasuk 767 melalui pengesanan kes aktif dan 409 banduan manakala 61 kes import.

Kes kematian pula melibatkan 11 wanita dan tujuh lelaki berusia antara 47 dan 86 tahun. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!