Anak pesawah cemerlang UPSR
Mokhtar menggendong Farish Fitri yang memperoleh semua A dalam UPSR.
Bapa dan ibu Nur Alia meraikan kejayaan anak mereka selepas meraih kejayaan cemerlang dalam UPSR.
A
A
A
Farish Fitri Mokhtar dan Nur Alia Natasya Azmi yang berusia 12 tahun, menjadikan kepayahan bapa masing-masing mencari rezeki keluarga sebagai perangsang untuk mereka meraih kejayaan.
Farish Fitri berkata, meskipun bukan dilahirkan dalam keluarga kaya, namun itu bukanlah alasan untuk dia berhenti berusaha apatah lagi sering mendapat galakan daripada bapanya, Mokhtar Talha, 52 dan ibunya, Rohaini Mohd Sanif, 47, untuk terus berjaya dalam pelajaran .
“Perit jerih ayah membanting tulang di bendang, menjadikan saya bersemangat tinggi untuk belajar bersungguh-sungguh. Alhamdulillah, harapan mak dan ayah hendak melihat saya berjaya dalam UPSR tercapai.
“Saya berazam untuk teruskan kesungguhan dalam peperiksaan selepas ini dan bercita-cita hendak jadi penulis novel,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.
Menurut Farish Fitri yang menetap di Kampung Parit Tujuh Setengah Barat berkata, minatnya dalam bahasa timbul sejak kecil membolehkannya memperoleh A dalam subjek pemahaman dan penulisan bahasa Inggeris.
“Ayah seorang yang tegas dan selalu pentingkan bahasa Jawa menyebabkan saya dan adik beradik lain bercakap bahasa Jawa di rumah. Bila penekanan soal bahasa ini dah dipelajari di rumah sejak kecil, jadi bila di sekolah rendah saya mudah terima pembelajaran bahasa Inggeris,” katanya.
Berkongsi resipi kejayaan, anak keempat daripada lapan beradik itu berkata, dia lebih seronok belajar menerusi aplikasi permainan belajar dalam talian.
“Pembelajaran sekarang lebih mudah dan menyeronokkan dengan pelbagai aplikasi dicipta untuk menari minat dalam pelajaran,” katanya.
Rakan sekolahnya, Nur Alia Natasha berkata, latar belakang keluarga bukan halangan untuk meraih keputusan cemerlang, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk berjaya.
“Janganlah disebabkan ayah pesawah kita rasa rendah diri, sebaliknya kita perlu berusaha untuk capai matlamat yang diinginkan dan saya harap cita-cinta untuk menjadi doktor juga tercapai,” katanya.
Nur Alia yang menetap di Parit 5 Timur, di sini berkata, ibu bapannya, Arbaiyah Samlan, 51, dan Azmi Hormat, 57, sentiasa memberikan dorongan berterusan.
“Saya tumpukan sepenuhnya pembelajaran dalam kelas selain kaedah ulang kaji secara bersistematik dan amalkan solat hajat. Bagi saya, fokus dalam kelas cukup penting kerana ia akan memastikan apa yang diajar guru dapat difahami dengan mudah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!