'Kalau lewat sesaat, memang ayah dah ditetak'

Sekumpulan lelaki bermotosikal yang dipercayai cuba melakukan samun dengan menyerang mangsa di rumahnya.
Sekumpulan lelaki bermotosikal yang dipercayai cuba melakukan samun dengan menyerang mangsa di rumahnya.
A
A
A

SERDANG - ALLAH bantu kami. Itu kongsi Hazran Adli ketika menceritakan kejadian menakutkan selepas bapanya yang berada di pekarangan rumah di Bukit Kuchai, Bandar Kinrara, di sini, semalam, tiba-tiba diserang sekumpulan penjenayah menaiki motosikal.

"Kalau lambat satu saat tahan pintu dan masuk, memang ayah saya akan kena tetak," tulisnya lagi di laman mikro Twitter miliknya.

Menceritakan kejadian itu, Hazran Adli berkata, bapanya dikejar dua orang penyamun bersenjata parang sehingga ke depan pintu rumah dan kejadian itu berjaya dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa.

Menurut Hazlan Adli lagi, dia bersyukur bapanya sempat melarikan diri masuk ke rumah dan menutup pintu.

"Nasib baik bapa sempat masuk ke dalam dan kami terus tahan pintu.

"Kalau bapa saya lewat dua saat lagi, dia memang jadi mangsa ditetak. Alhamdulillah syukur ALLAH bantu kami hari ini," katanya menerusi ciapan di akaun Twitternya, @aranomilano.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuba samun, serang mangsa dengan parang

Melalui ciapan itu, Hazran Adli turut memuat naik tiga video iaitu di hadapan pagar, hadapan pintu dan di dalam rumah.

Dalam rakaman video itu, kelihatan tujuh lelaki dengan menaiki empat motosikal.

Artikel Berkaitan:

Bapa Hazran Adli dilihat berlari masuk rumah selepas dikejar dua lelaki bersenjata parang.

Dua lelaki itu cuma masuk dan salah seorang daripada mereka menendang pintu rumah namun tidak berjaya selepas ahli keluarga menahan pintu dari dalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.05 petang, mangsa berusia 30 tahun yang hendak keluar rumah melihat empat buah motosikal yang dinaiki tujuh lelaki berlegar di sekitar kawasan tersebut.

Menurutnya, tiba-tiba dua suspek terus berlari ke arah mangsa ke kawasan parkir rumah dengan bersenjatakan sebilah parang sebelum mangsa terus masuk ke rumah dan bertindak menutup serta mengunci pintu.

"Namun, kedua-dua suspek bertindak mengetuk pintu dengan menggunakan parang sebelum memecahkan cermin pada bahagian tepi rumah serta membocorkan tayar kereta jenis Suzuki Swift milik mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian melarikan diri setelah mangsa dan keluarganya menjerit meminta pertolongan.

"Tindakan mengesan suspek kini giat dijalankan termasuklah membuat semakan kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan," katanya.

Kumpulan penjenayah itu disyaki terbabit dalam kejadian di beberapa daerah lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!