Perasuah cita rasa tinggi
SHAH ALAM - Golongan terlibat rasuah kebiasaannya individu yang memiliki cita rasa yang sangat tinggi.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, bagi memenuhi keinginan itu, golongan tersebut berusaha mencapai sesuatu walaupun dengan cara yang salah.
“Biasanya rasuah wujud disebabkan mereka berkuasa dan mempunyai kepentingan terhadap sesuatu benda atau objek sehingga tidak tahu membezakan antara halal dan haram.
“Sekiranya mempunyai iman yang kuat dan percaya kepada hari akhirat nescaya mereka tidak berani melakukannya,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Faisol menegaskan, rasuah akan memberikan impak negatif terhadap individu lain akibat aktiviti tidak sihat itu.
“Golongan yang terkesan akibat rasuah adalah masyarakat yang tidak terlibat dengan apa-apa kepentingan tetapi menjadi mangsa akibat perbuatan rasuah.
“Mereka sepatutnya mendapat hak tetapi dinafikan oleh amalan rasuah.
“Kualiti kehidupan masyarakat juga menjadi parah jika setiap lapisan masyarakat terjebak rasuah demi mendapatkan sesuatu walaupun hakikatnya itu adalah hak mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Faisol menyokong usaha Sinar Harian melaksanakan kempen Sinar Rasuah Busters dalam usaha membanteras gejala rasuah di negara ini.
“Sebagai media arus perdana yang sentiasa cakna kepada isu semasa negara dan masyarakat, Sinar Harian mempunyai ruang dan pilihan untuk menyedarkan masyarakat tentang penyakit rasuah yang amat berbahaya kepada generasi akan datang jika tidak dibanteras dari sekarang.
“Melalui Rasuah Busters segala informasi berkaitan rasuah dapat disebarkan lebih cepat dengan gaya dan kaedah yang pelbagai agar masyarakat dapat memahami serta mengambil tindakan dan pada masa yang sama membantu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!