Anak tukang sapu berjaya peroleh 7A 2B
ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI] Mengenangkan kesusahan yang terpaksa dilalui keluarganya menjadikan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 tekad untuk berjaya dan mendapat keputusan 7A, 2B.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, Nurul Eisha Abdullah,18, tidak menjadikan kekurangan dan masalah keluarga sebagai halangan untuk berjaya, malah anak tukang sapu di Klinik Kesihatan Durian Tunggal membuktikan dia boleh berjaya seperti orang lain.
Nurul Eisha, berkata, biarpun rumahnya di Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal juga sering dinaiki air sehinggakan pernah terpaksa belajar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada tahun lalu, namun mengenangkan pengorbanan ibu Siti Fadhilahani Abdullah, 36, yang terpaksa menggalas tugas sebagai ketua keluarga membuatkan dia berazam untuk mengubah nasib keluarga dengan belajar bersungguh-sungguh.
Menurutnya, dengan belajar mengikut kesesuaian dan keadaan antara rahsia kepada kejayaan itu selain tidak lupa mengaji dan berdoa kepada ALLAH SWT.
"Adakalanya saya puasa sunat selain belajar seawal jam 3 pagi, memandangkan rumah saya berdekatan dengan adik-adik saudara yang masih kecil jadi saya perlu cari masa yang sesuai.
"Keputusan ini hadiah untuk ibu yang banyak berkorban demi kami sekeluarga malah berterima kasih saudara mara serta pihak sekolah yang banyak membantu dan prihatin dengan nasib saya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Bukit Balai, di sini, pada Ahad.
Tambah anak sulung dari empat beradik itu, dia ingin menyambung pengajian dalam bidang farmasi dam berharap mendapat tawaran biasiswa daripada mana-mana pihak untuk merealisasikan impiannya demi keluarga tercinta.
Sementara itu, Siti Fadhilahani berkata, kejayaan itu atas usaha anaknya yang tidak menganggap dugaan dilalui termasuk berdepan masalah keluarga sebagai alasan untuk berjaya.
Katanya, biarpun hanya memperoleh pendapatan RM1,200 sebulan namun beliau berysukur dapat menyara empat orang anak termasuk seorang anak lelaki yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini.
"Syukur, saya harap anak terus berjaya mengapai cita-citanya dan sebagai ibu saya rasa bangga dan tak dapat menahan air mata ketika dapat tahu keputusan tersebut," katanya yang pernah mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun telah ditamatkan sejak empat tahun lalu.
Jelasnya, biarpun susah, dia tidak mahu meminta-minta. Bagaimanapun, beliau masih tertanya-tanya mengapa JKM dan bantuan makanan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) tidak disambung lagi.
"Walaupun susah, saya akan pastikan pendidikan anak-anak tidak terabai dan akan berikan yang terbaik untuk mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!