Serah diri selepas lari sekatan jalan raya
SEPANG - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki menyerah diri di Balai Trafik Sepang pada Ahad selepas tindakannya memecut laju kenderaan ketika pemeriksaan sekatan jalan raya di Kilometer 47.8, Jalan Pintasan Dengkil (dari arah Cyberjaya ke Dengkil).
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, video insiden pada Sabtu itu tular di Facebook.
Menurutnya, siasatan mendapati pemandu kenderaan Toyota Lexus itu diarah berhenti untuk pemeriksaan anggota polis ketika sekatan terbabit, namun pemandu berkenan terus memecut laju hingga hampir melanggar seorang lagi anggota bertugas.
"Bertindak hasil siasatan, polis mengenal pasti pemilik kenderaan berusia 31 tahun yang merupakan warga tempatan.
"Lelaki itu datang ke Balai Trafik Sepang pada jam kira-kira 6.30 petang dan soal siasat mendapati semasa kejadian kenderaan itu dipandu oleh adiknya berusia 21 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, siasatan lanjut punca adik pemilik kenderaan itu tidak berhenti semasa pemeriksaan kerana kerana lesen memandu tamat tempoh.
"Adik lelaki itu kemudian tampil serah diri di Balai Trafik Sepang kira-kira jam 8 malam. Ujian saringan air kencing didapati negatif dadah. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 78(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!