Belanda belum berada pada tahap terbaik
PENGENDALI Belanda, Frank de Boer menyifatkan pasukannya itu masih belum berada pada tahap terbaik walaupun melakar kemenangan 3-2 ke atas Ukraine dalam aksi pembukaan Euro 2020 di Johan Cruyff Arena, Amsterdam pada awal pagi Isnin.
Menurutnya, beberapa perkara harus diperbaiki pasukannya termasuk tidak memberikan gol mudah kepada lawan yang akan menyumbang impak negatif kepada pasukan.
"Anda tahu (Andriy) Yarmolenko adalah pemain kidal dan dia hebat dengan sepakannya itu. Kami perlu bertahan dengan baik walaupun gol yang dijaringkan Yarmolenko itu cantik. Kami tidak boleh melepaskan gol seperti itu.
"Gol kedua pula adalah daripada sepakan percuma dan pemain kami fikir ia adalah ofside tetapi sebaliknya berlaku. Kami perlu belajar daripada kesilapan ini dan berharap ia tidak berulang.
"Sudah tentu dalam setiap perlawanan lawan akan mempunyai peluang, tetapi ia tidak boleh berlaku dengan kesilapan sendiri. Dua gol yang kami lepaskan itu bagi saya adalah gol yang tidak patutu dibeikan kepada lawan," katanya.
Belanda beraksi dengan penguasaan penuh dalam perlawanan Kumpulan C itu dengan membuka tirai jaringan menerusi Georginio Wijnaldum dan Wout Wegho dalam tempoh enam minit sebaik babak kedua bersambung.
Namun, Ukraine berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol menarik daripada luar kotak penalti oleh Yarmolenko disusuli gol kedua menerusi tandukan Roman Yaremchuk berpunca daripada sepakan percuma.
Pertahanan kanan Belanda, Denzel Dumfries menjadi wira buat The Oranje dengan gol kemenangan pada minit ke-85.
Bagaimanapun, De Boer tetap memuji persembahan para pemainnya berjaya meraih kemenangan tersebut dan menegaskan mampu layak ke peringakn seterusnya jika terus kekal dengan aksi konsisten.
"Kami perlu lebih bijak dengan memanfaatkan peluang yang terhidang. Kami perku mencari cara yang terbaik. Kami perlu menganalisa semua perkara ini memperbaiki dan menambah baik dalam setiap sudut pasukan ketika berdepan Austria nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!