Permohonan Bantuan Zakat Kecemasan MAIWP 3.0 mula dibuka esok

Permohonan bantuan zakat kecemasan seperti dikongsikan di Facebook Baitulmal MAIWP pada Ahad.
Permohonan bantuan zakat kecemasan seperti dikongsikan di Facebook Baitulmal MAIWP pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membuka permohonan Bantuan Zakat Kecemasan Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula Selasa.

Baitulmal MAIWP menerusi kenyataan di Facebooknya pada Ahad memaklumkan, permohonan terbuka kepada golongan B40 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang terjejas pendapatan.

Menurut kenyataan itu, penerima Bantuan Kewangan Bulanan Baitulmal MAIWP dan telah menerima 11 inisiatif yang ditawarkan MAIWP tidak layak memohon bantuan kecemasan itu.

"Permohonan yang berjaya akan menerima bantuan secara 'one-off' sebanyak RM500. Penerima Bantuan Kecemasan Covid-19 PKP 2.0 tidak perlu membuat permohonan kerana bantuan akan disalurkan secara automatik.

"Penerima bantuan PKP 1.0 yang gagal memohon ketika PKP 2.0 perlu membuat permohonan semula secara dalam talian untuk PKP 3.0," kata kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu turut menyebut, permohonan boleh dibuat menerusi ebaitulmal.maiwp.gov.my/ez-zakat sehingga 30 Jun ini.

Dalam kenyataan sama, Baitulmal MAIWP memaklumkan semua penerima Bantuan Kewangan Bulanan di bawahnya akan menerima bantuan zakat khas tambahan sebanyak RM300 secara automatik.

Tambah kenyataan berkenaan, pembayaran Bantuan Zakat Kecemasan MAIWP 3.0 dan zakat khas akan disalurkan secara berperingkat bermula 15 Jun hingga 15 Julai.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!