Fasa empat PICK diaktifkan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ketika sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada Isnin. - Foto Bernama
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ketika sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan telah mengaktifkan Fasa Empat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kawalan wabak sektor industri.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) bagi mengekang jangkitan Covid-19.

"Fasa empat kawalan wabak perlu digerakkan secepat mungkin dalam kalangan industri agar kluster tempat kerja dapat dikawal," katanya pada sidang akhbar mingguan perkembangan PICK bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang diadakan secara maya pada Isnin.

Menurutnya, sebagai permulaan, sektor industri yang dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) akan diberikan keutamaan.

"Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri akan dibuka pada 16 Jun dan akan diselaraskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," katanya.

Beliau berkata, PPV industri akan dilakukan secara berperingkat mengikut sektor.

"Selepas itu, ia akan dibuka kepada sektor lain seperti pembinaan, perladangan, peruncitan dan hospitaliti," katanya.

Sebelum ini, Khairy berkata, fasa keempat akan melibatkan sektor ekonomi kritikal, termasuk yang perlu beroperasi sepanjang PKP.

Artikel Berkaitan:

Antara industri yang akan terbabit dalam fasa itu adalah dari sektor pembuatan, eksport, logistik, pengangkutan, tenaga dan utiliti.

Dalam perkembangan sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu berkata, lebih 700 pengamal media telah menerima janji temu suntikan vaksin masing-masing.

"Ia adalah sebahagian daripada lebih 5,000 senarai nama pengamal media yang diterima," katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata, lebih banyak janji temu untuk petugas media akan dikeluarkan pada minggu ini.

Rabu lalu, 98 orang wartawan dan pengamal media telah disuntik vaksin pertama Covid-19 di Dewan Seroja Putrajaya manakala 123 petugas media Perak menerima suntikan pada Jumaat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!