COVAX sambut baik komitmen G7 kongsi 870 juta dos vaksin

Tedros Ghebreyesus
Tedros Ghebreyesus
A
A
A

GENEVA - Rakan kerjasama inisiatif COVAX pada Ahad menyambut baik komitmen negara Kumpulan Tujuh (G7) untuk berkongsi sekurang-kurangnya 870 juta dos vaksin, lapor Agensi Anadolu.

"COVAX mengalu-alukan komitmen perkongsian 870 juta dos tambahan untuk menyokong akses yang adil terhadap vaksin pada 2021 dan 2022, dengan matlamat memberikan sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah itu pada akhir 2021," kata WHO dalam satu kenyataan.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Ghebreyesus berkata, “Kami menyambut baik pengumuman mengenai sumbangan vaksin dan berterima kasih kepada para pemimpin. Namun kita perlukan lebih banyak lagi, dengan lebih segera."

"Banyak negara lain sedang mengalami lonjakan kes, dan mereka menghadapinya tanpa vaksin. Kita semua sedang berjuang untuk hidup, tetapi ia bukan perjuangan yang adil, dan kebanyakan negara masih belum bermula,” katanya.

COVAX adalah mekanisme untuk akses yang adil kepada vaksin, dikumpulkan bersama oleh Gabungan Inovasi Persediaan Epidemik (CEPI), Pakatan Vaksin Global (Gavi) dan WHO yang bekerjasama dengan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Pada mesyuarat di Cornwall, United Kingdom yang berakhir pada Ahad, G7 mengumumkan ikrar untuk 870 juta dos vaksin, yang dijangka sekurang-kurangnya separuh daripadanya dapat diberikan pada akhir tahun ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!