Copa America: Brazil laung amaran awal
PENYANDANG juara, Brazil melaungkan amaran awal untuk mempertahankan kejuaraan pada edisi Copa America 2021 apabila melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas Venezuela pada Isnin.
Malah menurut kapten Brazil, Casemiro, tiga mata beraksi di laman sendiri Brazil menjadi motivasi terbaik untuk skuad kendalian Tite mengharungi perlawanan selepas ini.
"Berstatuskan juara bertahan apatah lagi beraksi di bumi Brazil, secara tidak langsung meningkatkan keyakinan tinggi dalam kalangan pemain-pemain untuk perlawanan seterusnya.
"Sama seperti perlawanan persahabatan dan kelayakan Piala Dunia sebelum ini, kami mahu menoktahkan setiap aksi Copa America dengan meraih tiga mata.
"Biarpun Venezuela tampil corak permainan bertahan sepanjang perlawanan untuk keputusan seri, namun pemain-pemain Brazil kekal fokus mengasak selain agresif mengekalkan penguasaan,” katanya.
Pada aksi di Stadium Nacional de Brasilia tersebut, tiga jaringan yang dihasilkan Marquinhos, Neymar dan Gabriel Barbosa sudah cukup menjinakkan Venezuela yang serba tempang setelah lapan pemain pelawat positif Covid-19 sehari sebelum perlawanan.
Situasi itu menyebabkan, Venezuela kendalian Jose Peseiro,
terpaksa mengunakan khidmat 15 pemain baharu dengan mengunakan corak bertahan berdepan The Seleção.
Brazil yang diundi dalam Kumpulan B bersama Venezuela, turut diundi bersama Colombia, Ecuador dan Peru dengan empat pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke pusingan kalah mati.
Sementara itu, Colombia tidak berdepan masalah menjinakkan Ecuador 1-0 dalam satu lagi perlawanan kumpulan sama di Arena Pantanal, Cuiaba.
Jaringan tunggal Edwin Cardona pada penghujung babak pertama membolehkan skuad kendalian Reinaldo Rueda mengatasi anak buah, Gustavo Alfaro.
Brazil kini memimpin Kumpulan A dengan tiga mata sambil diekori rapat Colombia (3), Peru (0), Ecuador (0) dan Venezuela (0).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!