Jakoa sedia 25,300 bakul makanan bantu masyarakat orang asli

A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang mengagihkan sebanyak 25,300 bakul makanan kepada ketua isi rumah masyarakat orang asli di negeri ini yang terkesan dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengarahnya, Johari Alwi berkata, agihan dilakukan secara berperingkat di 328 penempatan orang asli bermula minggu lalu membabitkan semua kampung tradisional dan rancangan penempatan semula (RPS) seluruh negeri.

Menurutnya, pejabat Jakoa daerah telah mengagihkan lebih 700 bakul makanan kepada ketua isi rumah di beberapa penempatan di Lipis, Bera, Cameron Highlands, Maran dan Muadzam Shah.

"Penghantaran bantuan terpaksa dilakukan secara berperingkat kerana penempatan orang asli jauh di pendalaman dan mengambil masa untuk sampai, malah ada yang terpaksa menggunakan laluan sungai.

"Kita cuba untuk menyelesaikan agihan bakul makanan ini secepat mungkin bagi membantu meringankan beban mereka," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Johari berkata, ketika ini terdapat dalam kalangan orang asli yang tidak dapat bekerja atau memasarkan hasil hutan menyebabkan pendapatan mereka terjejas, selain pergerakan terbatas untuk keluar membeli barangan keperluan.

Menurutnya, masyarakat di daerah Pekan menerima bantuan paling tinggi membabitkan sebanyak 4,949 bakul makanan, diikuti Lipis (3,871), Rompin (2,663), Muadzam Shah (2,333), Cameron Highlands (2,201), Bera (2,177) dan selebihnya bagi penempatan orang asli di daerah lain.

"Jakoa sentiasa berusaha membantu golongan terbabit dalam memastikan mereka tidak terus tertekan dengan situasi yang berlaku di seluruh negara pada ketika kini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, Jakoa turut giat menjayakan program suntikan vaksin Covid-19 dalam kalangan masyarakat orang asli di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!