Tengku Hassanal titah keluasan Hutan Simpan Chini ditambah
KUANTAN - Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya kawasan Hutan Simpan Chini, Pekan seluas 4,600 hektar ditambah kepada 6,000 hingga 7,000 hektar.
Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, titah tersebut bertujuan menjaga kepentingan flora dan fauna di kawasan Tasik Chini serta kawasan persekitarannya.
Tengku Hassanal, menurut Ahmad Khirrizal telah mencemar duli mengadakan lawatan mengejut di Tasik Chini semalam, ekoran laporan dan gambar tular menerusi media sosial sejak kebelakangan ini yang mendakwa berlaku aktiviti perlombongan di situ.
"Baginda juga telah meneliti laporan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung aktiviti perlombongan, tindakan pemulihan dan pemeliharaan yang telah dijalankan kerajaan negeri.
"Baginda bersetuju dengan langkah kerajaan negeri tidak lagi mengeluarkan sebarang kelulusan (perlombongan) baharu sejak 2019 selain turut menyarankan agar aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini dihentikan," katanya menerusi kenyataan di sini pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN: Tasik Chini diwarta untuk pelihara kelestarian alam: Exco
Tiada aktiviti perlombongan dalam rizab hutan simpan di Tasik Chini
Untuk rekod, Pejabat Tanah dan Galian Pahang sebelum ini memaklumkan bahawa tiada kelulusan diberikan selepas pewartaan Taman Negeri Tasik Chini sebagai Hutan Simpan Chini pada Mac 2019.
Sebelum itu, 14 lesen telah dikeluarkan dan daripada jumlah itu, hanya dua yang masih beroperasi dengan satu daripadanya tamat pada hujung bulan ini manakala lesen sebuah lagi pemegang pajakan dan operator akan berakhir hujung tahun ini.
Ahmad Khirrizal berkata, Tengku Hassanal juga menitahkan kawasan bekas lombong dipulihkan dengan penanaman pokok hutan bersesuaian selain aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan oleh kerajaan negeri serta Persekutuan yang sedang berjalan, dipergiatkan lagi.
Tengku Hassanal turut menitahkan aktiviti penguatkuasaan diperkasakan dan dilakukan secara bersepadu serta berkala melibatkan agensi penguatkuasaan negeri dan Persekutuan.
Selain itu, baginda juga menzahirkan harapan supaya Tasik Chini yang diberi status tapak rizab biosfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dapat diberikan keutamaan dalam peruntukan kewangan dan pembangunan lestari oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
"Tengku Hassanal bertitah bahawa Tasik Chini adalah permata alam sekitar di Pahang dan pengiktirafan bertaraf dunia sebagai tapak rizab biosfera UNESCO pertama di Malaysia hendaklah dipertahankan.
"Baginda mengambil berat dan akan sentiasa memantau usaha kerajaan negeri bagi memastikan alam sekitar Pahang sentiasa terjaga. Baginda juga menyeru semua pihak sentiasa mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan urus tadbir yang baik supaya khazanah alam kekal untuk generasi akan datang," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!