Cheng Hoe tepis rasa sedih pemergian bapa demi tugas
BUKAN mudah menerima perkhabaran pemergian bapa tercinta menjelang tugasan getir membimbing pasukan negara dalam misi penting, namun itu yang dialami Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
Pengendali berusia 53 tahun itu menerima berita mendukakan tersebut beberapa jam sebelum pertembungan Malaysia dan Vietnam pada aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), awal pagi Sabtu lepas.
Meskipun berdepan situasi sukar selain kehendak untuk berada di samping keluarga tersayang, Cheng Hoe berkata,tugasannya bersama skuad Harimau Malaya ketika itu adalah lebih penting sekali gus menepis rasa sedih untuk berada di kawasan teknikal perlawanan pada aksi di Stadium Al Maktoum itu.
“Saya rasa sepanjang karier dari saya bermain bola sepak, saya mendapat sokongan yang terbaik daripada mendiang bapa saya. Sudah tentu kehidupan tetap perlu diteruskan.
“Bukan mudah untuk sesiapa kehilangan orang tersayang tetapi tanggungjawab dan juga tugasan lebih penting daripada itu,” katanya pada sidang media secara dalam talian sesi latihan skuad kebangsaan di Dubai hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:Keluarga harap Cheng Hoe tidak terkesan pemergian bapa
Cheng Hoe berkata, dengan restu diberikan selama ini oleh mendiang bapanya, beliau berharap ia dapat membantunya dalam meniti perjalanan menjadi seorang jurulatih yang berjaya.
Suasana hiba menyelubungi kem skuad kebangsaan yang dijadualkan bertemu Vietnam awal pagi Sabtu lalu selepas dikejutkan dengan berita pemergian bapa Cheng Hoe, Tan Chooi Siak, 95, yang disahkan meninggal dunia akibat sakit tua pada tengah hari Jumaat lepas di Alor Setar, Kedah.
Malaysia tewas 1-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Al Maktoum itu sekali gus menamatkan perjalanan ke Piala Dunia skuad kebangsaan, selain terpaksa melalui jalan lebih berliku dalam memburu slot beraksi di pusingan akhir Piala Asia.
Cheng Hoe dan barisan pemain negara kini hanya mempunyai satu perlawanan terakhir Kumpulan G menentang Thailand pada awal pagi Rabu ini, sebelum pulang ke tanah air sejak menjalani sesi latihan intensif di Dubai bermula 20 Mei lepas sebagai persediaan menghadapi kempen kelayakan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!