MAPIM kesal MCA tak peka isu penindasan Uyghuir
SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) kesal terhadap dakwaan MCA bahawa pertemuan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dengan wakil Kongres Dunia Uyghuir sebagai campur tangan Malaysia dalam urusan negara China.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pemikiran sempit dan berbaur politik adu domba MCA itu jelas menunjukkan parti itu tidak peka dengan soal hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.
"Apakah dengan mendengar pandangan dan fakta dari pihak yang dizalimi yang diakui oleh banyak negara hatta agensi dan media antarabangsa seperti PBB, OIC, CNN dan Al Jezeera, itu bermakna Malaysia campur tangan dalam urusan China?
"Sebagaimana isu rakyat terutama warga Muslim yang ditindas seperti di Myanmar, Palestin, Sri Langka dan India telah dibahas di forum dunia mengenai genosid, penghapusan etnik dan jenayah perang ke atas manusia, kenapa MCA tiba tiba mengungkit soal campur tangan Malaysia dalam urusan China?," soal beliau.
Mohd Azmi berkata, walaupun terdapat penafian daripada pihak China bahawa Uyghuir ditahan di pusat latihan vokasional atas alasan untuk memberi latihan dan kononnya mendidik mereka menghindari aktiviti pengganas, namun aktivis Uyghuir menafikan maklumat itu dan telah mendedahkan realiti berbeza daripada apa yang dipropagandakan oleh China.
"Mereka menunjukkan bukti ada penindasan khusus untuk kaum Uyghuir termasuk larangan berpuasa, dipaksa minum arak dan makan daging khinzir, dilarang solat di masjid, dipaksa mengagungkan ideologi dan pemimpin komunis, dipaksa keluar Islam, dilarang pakaian menutup aurat.
"Tidak masuk akal lebih sejuta dipaksa berada dalam kem untuk diajar latihan vokasional dan kononnya membasmi pemikiran teroris," ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau membidas, MCA tidak harus bersikap berpihak kepada pemerintah China atas sentimen chauvinis sebaliknya berpegang kepada prinsip keadilan dan melindungi yang ditindas perlu diutamakan dan bukan mendahulukan kepentingan perdagangan.
"Tidak mungkin umat Islam boleh berdiam diri bila maklumat yang diterima bertalu-talu dari pelbagai sumber mengenai penindasan yang berlaku ke atas umat Islam berlaku di China," katanya.
Justeru itu, MAPIM menggesa Malaysia harus jelas mengangkat isu-isu yang berkaitan hak umat Islam di China dan mengesyorkan kerajaan menjadi orang tengah agar perundingan damai antara pihak komuniti Muslim dan pemerintah dapat dicapai.
"Negara Islam perlu menunjukkan pendirian agar China tidak mengambil kesempatan berdagang dan melabur di negara Islam tetapi dalam masa yang sama menindas umat Islam di negara tersebut," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!