Agong zahir rasa bangga kejayaan Damok

Foto ihsan Facebook Istana Negara
Foto ihsan Facebook Istana Negara
A
A
A

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah di atas pencapaian pelumba motosikal negara, Syarifuddin Azman menjuarai saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Sepanyol pada Ahad.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Istana Negara pada Isnin, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sukacita serta bangga di atas kejayaan itu yang sekali gus melakar sejarah buat sukan permotoran negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Al-Sultan Abdullah menyifatkan pencapaian Syarifuddin sebagai kejayaan amat bermakna kepada Malaysia dan menjadi suntikan semangat untuk pelumba yang lebih dikenali sebagai 'Damok' itu dalam memburu kejayaan di masa hadapan.

“Pencapaian cemerlang Syarifuddin ini sekali lagi turut membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

Ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Piala ini untuk Malaysia' - Damok

Al-Sultan Abdullah berharap kejayaan dan semangat perjuangan Syarifuddin akan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya para atlet untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.

“Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Syarifuddin dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama negara di persada dunia,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Syarifuddin yang bermula di petak ke-10 menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat, mengatasi dua pelumba tuan rumah, David Munoz Rodriguez dan Jose Antonio Rueda Ruiz, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Syarifuddin kini berada di tangga keenam keseluruhan dengan mengumpul 30 mata selepas tiga pusingan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!