Sistem khilafah atau beraja, yang penting adil: Abdul Hadi
SHAH ALAM - Al-Quran memaparkan dua sistem pemerintahan negara iaitu sistem khilafah dipilih secara syura oleh rakyat atau wakilnya dan sistem beraja dipilih secara warisan berdasarkan keturunan.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sejarah keemasan Islam memaparkan pada zaman Khulafa al-Rasyidin, mencatatkan para khalifah itu dipilih melalui proses syura oleh rakyat secara langsung manakala pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz pula, beliau dipilih menjadi khalifah mengikut sistem beraja.
Beliau berkata, dunia moden pula menyaksikan negara komunis dan negara sosialis meletakkan jenama demokrasi kepada negara mereka atas nama rakyat yang tertindas.
"Tetapi kelompok para pemimpin tertinggi mengamalkan pemerintahan bercorak kuku besi kerana mereka memisahkan urusan pemerintahan daripada agama atau menolak ajaran agama," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata, kini, negara tersebut sudah lupus, khususnya setelah keruntuhan Kesatuan Soviet (Soviet Union) pada tahun 1991 yang kemudiannya berubah kepada pengamalan sistem liberal.
"Selain itu, kita juga menyaksikan hari ini bagaimana demokrasi Barat sedang jatuh merudum, apabila negara mereka dibejati dengan rasuah, politik wang, mafia, kongsi gelap, samseng dan sebagainya.
"Sehingga keadaan tersebut menyebabkan mereka bertindak memaksa dan menipu rakyat kerana politik yang diamalkan itu berpisah daripada panduan agama," katanya.
Beliau turut mengimbau kembali sejarah raja-raja, para ulama dan pemimpin masyarakat khususnya di negara ini yang menghadapi penjajahan yang getir dengan penuh kejahatan dan penipuan.
Menurut Abdul Hadi, para penjajah turut mewujudkan masyarakat majmuk yang sengaja dibawa masuk ke dalam negara ini sebagai suatu masalah, laksana bom jangka pada masa hadapan.
"Akan tetapi, keadaan tersebut dapat ditangani apabila penjajah memberikan kemerdekaan berserta perlembagaan yang fleksibel.
"Perlembagaan Persekutuan diberikan peluang dan ruang untuk diubah dan dipinda berteraskan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, Raja Berperlembagaan dan Islam memimpin masyarakat majmuk.
"Maka, mereka yang cuba merungkai sistem beraja wajib ditentang habis-habisan kerana mereka laksana makhluk perosak, tikus yang membaiki labu," kata Ahli Parlimen Marang itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!