Menggolek rosak, kena golek binasa
PEPATAH Melayu mengenai nasib pihak yang kurang keupayaan lalu tertindas atau diganggu gugat oleh pihak lain mungkin mencerminkan apa yang berlaku hari ini terhadap kedaulatan wilayah udara dan laut negara.
Pelanggaran ruang udara dan pencerobohan kawasan maritim Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia seakan mencabar kewibawaan dan kemampuan negara untuk mempertahankan hak sempadan dan kedaulatannya.
Selain langkah diplomatik, perkara utama yang perlu dilakukan oleh kerajaan ialah mempersiapkan dan mengukuhkan kemampuan pertahanan maritim negara.
‘Kecelaruan’ dalam program peningkatan keupayaan pertahanan maritim negara selama lebih 20 tahun mungkin antara sebab kenapa pihak asing tidak lagi memandang serius dengan kemampuan hakiki Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pada tahun 1998, program NGPV diwujudkan bagi melengkapkan TLDM dengan 27 buah kapal peronda pesisir pantai, namun sehingga tahun 2009, hanya enam berjaya disiapkan.
Pada tahun 2014, program LCS dengan kapal lebih moden diumumkan. Kapal pertama sepatutnya siap pada tahun 2019 dan kapal-kapal seterusnya setiap enam bulan berikutnya. Malangnya sehingga Mac 2021, hanya 60 peratus pembinaan untuk kapal pertama berjaya disiapkan walaupun kerajaan membayar lebih RM6 bilion.
Mengikut perancangan strategik TLDM, sekiranya semua program berjalan lancar, sehingga tahun 2021, ia sepatutnya telahpun memiliki lebih 40 kapal permukaan berkemampuan tinggi berupaya menjaga persempadanan maritim negara dari ancaman luar.
Sebaliknya hari ini hanya memiliki enam kapal ronda pesisir pantai NGPV dan lapan kapal perang berkeupayaan tinggi yang dibeli pada tahun 80 dan 90-an. Ini bermakna kemampuan TLDM hari ini adalah kurang dari separuh apa yang dihajatkan angkatan laut tersebut! Di manakah silapnya?
Jika keadaan ini tidak diambil serius oleh kerajaan, maka tak perlu kita menjadi timun, jadilah kita sebagai ‘jeruk timun’ yang tidak perlu durian, jika digolek buah mempelam pun ia akan binasa.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!