Cara fikir yang silap tentang rasuah membimbangkan
GEJALA rasuah yang berlaku pada hari ini semakin hari semakin meningkat, semakin kompleks dan boleh dikesan dalam pelbagai agensi atau organisasi.
Menurut Syed Husin Al Attas, rasuah muncul sejak masyarakat tradisional lagi yang mana ketika itu, masyarakat tradisional mengamalkan budaya memberi hadiah kepada seseorang sebagai penghormatan. Tetapi kini budaya tersebut yang pada asalnya bertujuan mulia telah digunakan sebagai rasuah dalam memenuhi hajat secara cepat.
Apakah definisi rasuah? Hakim YA Raja Azlan Shah semasa membuat keputusan dalam kes PPV Datuk Harun Idris (1997) mendefinisikan rasuah sebagai ‘Corrupt means doing an act knowing that the act done is wrong, doing so with evil intention... purposely doing an act which the law forbids. Corrupt is a question of intention. If the circumstances show that what a person has done or has omitted to do was moved by an evil intention or a guilty mind, then he is liable under the section’ (PPV Datuk Harun Idris, 1997 1 MLJ 15).
Penguatkuasaan terhadap jenayah rasuah di Malaysia dibuat melalui Akta SPRM 2009. Berdasarkan akta ini, kesalahan rasuah tidak tertakluk kepada perbuatan memberi dan menerima suapan sahaja. Akta ini memperuntukkan empat kesalahan utama rasuah iaitu meminta dan menerima suapan [seksyen 16(a) dan 17(a) Akta SPRM 2009]; menawar dan memberi suapan [seksyen 16(b) dan 17(b) Akta SPRM 2009]; mengemukakan tuntutan palsu (Seksyen 18 Akta SPRM 2009); dan menggunakan jawatan awam untuk mendapatkan suapan (Seksyen 23 Akta SPRM 2009).
Menurut Seksyen 3 Akta SPRM 2009 pula, suapan termasuklah wang, derma, pinjaman, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpamanya.
Di sektor awam awam misalnya, rasuah boleh berlaku dalam pelbagai bentuk iaitu: (i) suapan (ii) ugutan (iii) penyelewengan (iv) frod (v) nepotisme (vi) naungan - yang mana seorang pegawai awam memilih calon untuk jawatan sektor awam kerana hubungan politiknya atau afiliasinya dan (vii) konflik kepentingan (Transparency International, 2015).
Antara punca-punca kenapa amalan rasuah boleh berlaku adalah disebabkan sifat tamak haloba, integriti rendah, kelemahan tadbir urus, kelemahan dalam penguatkuasaan dan tarikan untuk mencapai kekayaan dan kesenangan dengan cepat dan mudah melalui jawatan dan kuasa yang dimiliki.
Justeru, Islam sebagai agama rasmi Persekutuan jelas menyatakan, hukum Islam terhadap pemberi rasuah dan penerima rasuah adalah haram. Ini berdasarkan dalil berikut: “Sesiapa sahaja yang telah kami lantik untuk memegang sesuatu jawatan atau kerja dan kami telah tetapkan pendapatannya atau gaji maka apabila ia mengambil lebih dari apa yang ditetapkan itu dikira sebagai satu penipuan dan rasuah.” (Hadis Riwayat Abu Daud).
Malah, rasuah merupakan satu perbuatan jenayah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009. Hal ini kerana rasuah boleh diibaratkan sebagai satu penyakit barah yang mengancam masyarakat dan kesannya boleh meruntuhkan sistem pentadbiran sesebuah negara. Walaupun tempoh masa kewujudan rasuah tidak dapat dipastikan dengan tepat, namun gejala rasuah wujud apabila manusia mula mengenal peranan kuasa (Noh Che’Pa, 2007).
Gejala rasuah juga akan menjadi semakin parah sekiranya amalan ini mula diterima sebagai perkara biasa dalam kehidupan harian (Mohd Nasir Ayon, 2006). Oleh sebab itu, kerajaan amat memandang berat terhadap isu berkaitan jenayah kewangan, penipuan dan rasuah. Lantaran itu, kerajaan mempunyai hasrat dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai misi untuk membentuk masyarakat Malaysia yang bebas dari gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Mahasiswa dan rasuah
Kajian mengenai peringkat nasional mengenai persepsi awam terhadap rasuah bermula pada tahun 2002. Berkaitan kajian rasuah kalangan mahasiswa, dapatan Kajian Persepsi Rasuah tahun 2003 yang dilaksanakan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan, 30.5 peratus pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai kecenderungan untuk menerima menawar rasuah sekiranya berpeluang manakala 15.7 peratus pelajar daripada keseluruhan responden menyatakan berpengalaman dalam tingkah laku rasuah.
Seterusnya pola mengenai tingkah laku rasuah kalangan mahasiswa turut diteliti dalam Kajian Persepsi Awam Mengenai Rasuah di Malaysia (2013-2017) yang dilaksanakan oleh UKM (2012, 2015) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) (2013, 2014, 2016).
Dapatan kajian UPM pada 2016 menunjukkan 16 peratus pelajar IPT menyatakan pernah menerima/memberi rasuah. Namun kajian yang telah dilaksanakan tersebut hanya bersifat sub-sampel. Kajian tinjauan dengan fokus responden mahasiswa yang dilaksanakan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 2017 menunjukkan trend yang hampir sama.
Misalnya 35.8 peratus responden beranggapan menerima hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan sebagai balasan atas perkhidmatan diberikan dan 28.1 peratus beranggapan mengambil harta/barangan pejabat untuk kegunaan peribadi bukan merupakan perbuatan rasuah. Malah 37.3 peratus responden menganggap perlakuan mengemukakan tuntutan untuk tugasan luar walaupun ada tajaan penuh bukan kesalahan moral.
Sungguhpun kajian lepas tidak menunjukkan peningkatan peratusan mahasiswa dalam perlakuan rasuah, namun simptom kecenderungan tingkah laku dan cara fikir yang silap tentang perbuatan rasuah dalam kalangan mahasiswa masih membimbangkan.
Jika usaha membanteras gejala rasuah tidak dimulakan pada peringkat awal terutama di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), generasi muda akan beranggapan perlakuan rasuah sebagai amalan biasa, seolah-olah ‘dibolehkan’ dalam masyarakat kita. Fenomena ini adalah sesuatu yang membimbangkan memandangkan golongan ini bakal memimpin negara pada masa hadapan.
Justeru, kajian dan penyelidikan berterusan perlu dilakukan dari masa ke masa bagi mengkaji dan mendapatkan maklumat semasa berkaitan pengetahuan, persepsi, sikap dan amalan mahasiswa berkaitan rasuah.
Terkini kajian berkaitan sedang dijalankan oleh Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) bersama Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM bagi memperoleh maklumat berkaitan persepsi pelajar IPT terhadap rasuah peringkat negara dan dalam kalangan komuniti IPT serta mengukur tahap pengetahuan, nilai dan sikap pelajar IPT terhadap rasuah. Populasi kajian melibatkan pelajar tempatan yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda di semua IPT di Malaysia dengan 3,500 responden.
Dapatan kajian diharap dapat membantu pihak berkaitan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam merangka strategi dan program bagi mendidik dan meningkatkan pengetahuan, pemahaman dan persepsi mereka berkaitan rasuah di samping menangani gejala awal rasuah kalangan mahasiswa IPT yang bakal menjadi pemimpin barisan hadapan negara.
Antara lain KPT dan pihak IPT dengan kerjasama SPRM dan YARM mewajibkan modul antirasuah dan integriti sebagai usaha menyekat peningkatan trend kesalahan itu dalam kalangan bawah 40 tahun sebagai persediaan kepada golongan muda supaya mereka lebih memahami dan bersedia apabila berada dalam dunia sebenar. Sekurang-kurangnya dengan adanya modul sedemikian budaya menolak rasuah dalam masyarakat Malaysia dapat ditanam.
*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman, Profesor Madya Dr Hanina H Hamsan dan Profesor Dr Akmar Hayati Ahmad Ghazali Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!