Rela tepis dakwaan keanggotaan secara automatik

Kenyataan Rela yang dikeluarkan pada Selasa.
Kenyataan Rela yang dikeluarkan pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) menepis dakwaan bahawa pihaknya menggunakan data peribadi seseorang untuk didaftarkan sebagai anggotanya secara automatik tanpa mendapat kebenaran individu berkenaan.

Rela dalam kenyataannya berkata, perbuatan itu bercanggah dengan perkara yang dinyatakan di Seksyen 6(1), Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

"Merujuk kepada Seksyen 7(1) Pendaftaran sebagai anggota Rela, Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia (Akta 752) tahun 2012 menyatakan bahawa warganegara berumur 18 tahun ke atas dan bukan anggota tentera boleh memohon secara bertulis kepada Ketua Pengarah untuk didaftarkan sebagai anggota," kata kenyataan itu pada Selasa.

Menurutnya, Seksyen 5(1) Akta (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1964 Peraturan-Peraturan Perlu (Ikatan Relawan Rakyat) 1966 Pindaan 1 Februari 2005 (telah dibatalkan) menyatakan setiap lelaki yang mencapai umur 18 sehingga 55 tahun hendaklah berkhidmat dalam Rela.

"Jabatan ini mengambil maklum kegusaran orang ramai dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenalpasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta 752 berkuatkuasa," katanya.

Rela berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang secara sengaja memproses atau menggunakan data peribadi seseorang bagi tujuan tertentu tanpa mendapat kebenaran individu terbabit.

"Rela juga dalam usaha melaksanakan program pemutihan keanggotaan di mana anggota yang tidak aktif mencapai tempoh lima tahun akan ditamatkan keanggotaan.

"Walau bagaimanapun, program pemutihan keanggotaan berdasarkan Seksyen 9 Akta ini digantung sementara kerana Rela sedang menumpukan usaha untuk melawan wabak Covid-19," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Bagi anggota yang masih berminat untuk menyambung keanggotaan boleh berbuat demikian dengan memaklumkan secara bertulis kepada Ketua Pengarah Rela.

"Kepada individu terbabit yang mendapati telah didaftarkan sebagai anggota Rela dan ingin menamatkan keanggotaan sila hubungi talian berikut 03-8870 3770 dan emel pro_rela@moha.gov.my untuk dibatalkan keanggotaannya," jelas kenyataan.

Warga maya pada Isnin mempersoalkan Rela selepas semakan keanggotaan mendapati ada yang menjadi anggota jabatan itu tanpa pengetahuan.

Antara yang turut menjadi anggota Rela tanpa kerelaan, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dan isterinya yang menyedari hal itu selepas semakan dibuat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!