Iran beri kelulusan guna vaksin Covid-19 buatan tempatan
TEHERAN - Kerajaan Iran mengeluarkan kelulusan kecemasan untuk rakyatnya menggunakan vaksin Covid-19 buatan negara tersebut iaitu Barekat sebagai usaha menghalang penularan pandemik berkenaan.
Vaksin tersebut dengan nama penuhnya, COVIran Barekat dibangunkan oleh sebuah yayasan milik kerajaan negara berkenaan, Setad.
Menurut AFP, seorang pegawai dari yayasan tersebut memberitahu agensi berita IRNA bahawa pengeluaran vaksin berkenaan telah bermula pada awal Jun lalu dengan kira-kira tiga juta dos.
Sebelum ini, lebih 82,000 orang meninggal dunia akibat pandemik tersebut, manakala lebih tiga juta orang dijangkiti virus tersebut di Iran, menurut perangkaan rasmi negara berkenaan.
Negara itu juga menghadapi kesukaran untuk memindahkan wang ke firma-firma asing ekoran sekatan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) menyebabkan ia sukar mengimport vaksin Covid-19 bagi kegunaan 83 juta penduduknya.
Kementerian Kesihatan Iran menyatakan lebih 4.3 juta penduduk telah menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 bagi menghalang penularan pandemik tersebut sejak kempen vaksinasi dilakukan pada Februari lalu.
Namun, kurang sejuta orang telah mendapat dua kali suntikan vaksin tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!