Maut tersepit celah treler
GERIK - [DIKEMSKINI] Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditungganginya merempuh dan tersepit di celah treler dalam kemalangan di Kilometer 28, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Kupang dekat kawasan Rehat dan Rawat Bintang Hijau di sini pada Selasa.
Dalam kejadian sekitar jam 6.10 pagi itu, mangsa Mohamad Amirul Ahmad, 21, yang menunggang motosikal jenis SYM parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, ketika kejadian mangsa yang beralamat dari Alor Setar, Kedah menunggang secara sendirian dari arah Gerik ke Baling.
"Tiba di tempat kejadian, terdapat sebuah treler keluar dari kawasan perhentian itu dan hendak membelok ke arah Baling.
"Oleh kerana jarak terlalu dekat, mangsa gagal mengelak dan melanggar sisi sebelah kiri kenderaan berat terbabit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.
Menurut beliau, mangsa yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pemandu treler berusia 54 tahun dan penumpang kenderaan itu berusia 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1k Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad Asaris berkata, panggilan kecemasan kejadian itu diterima pada jam 6.27 pagi membabitkan sebuah treler dan motosikal.
Katanya, ketika anggota tiba di lokasi, didapati mangsa dalam keadaan tersepit pada sisi treler dan tidak sedarkan diri dipercayai telah meninggal dunia.
"Komander operasi mengarahkan anggota mengeluarkan mangsa dengan cara menterbalikkan motosikal tersebut tanpa menggunakan peralatan khas.
"Mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan telah meninggal dunia oleh pihak hospital," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 8.05 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!