Rempuh sekatan jalan sebab bawa dadah
KEPALA BATAS - Cubaan seorang penunggang motosikal merempuh sekatan jalan raya (SJR) bagi mengelak diperiksa polis gagal selepas dia terbabas dalam kejadian di Pinang Tunggal di sini, pada malam Isnin.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, lelaki berkenaan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan pasukan keselamatan selepas berlaku pergelutan antara mereka.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 43 tahun itu menunggang motosikal jenis Demak Evo dari arah Pinang Tunggal, Kedah menuju ke Kepala Batas.
Menurutnya, ketika sampai di sekatan jalan raya berkenaan lelaki yang bekerja sebagai buruh itu menunggang dalam keadaan laju dan enggan berhenti apabila diarahkan anggota polis.
"Disebabkan gagal mengawal motosikalnya, lelaki itu terbabas namun dia sekali lagi cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan ketika anggota keselamatan bertugas yang mahu membuat tangkapan.
"Hasil pemeriksaan polis menemui satu keratan straw yang mengandungi dadah dipercayai jenis heroin di dalam poket suspek," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Selasa.
Noorzainy menjelaskan, selain kesalahan memiliki bahan terlarang itu, lelaki berkenaan juga gagal memberi alasan munasabah dan surat kebenaran rentas negeri.
Semakan mendapati, lelaki yang berasal dari Gerik, Perak itu mempunyai dua rekod jenayah lampau.
"Suspek dikenakan kompaun kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan dan kini direman untuk tindakan lanjut atas kesalahan memiliki dadah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!