Kes demam denggi menurun 75 peratus tahun ini
PUTRAJAYA - Jumlah kes serta kematian demam denggi dalam tempoh Januari hingga 12 Jun tahun ini menunjukkan pengurangan sebanyak 75 peratus dan 91 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Menurut beliau, sebanyak 12,188 kes demam denggi serta lapan kematian dilaporkan dalam tempoh berkenaan tahun ini berbanding 48,584 kes dan 84 kematian bagi tempoh sama pada 2020.
“Walaupun negara kita masih bergelut dengan pandemik Covid-19, namun usaha memerangi ancaman wabak demam denggi tetap perlu diteruskan, memandangkan penyakit ini adalah endemik dan menjadi beban kesihatan awam di negara kita sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Hari Denggi Asean pada Selasa.
Menurut Dr Adham, Hari Denggi Asean yang disambut kali ke-11 tahun ini sejak dilancarkan pada 2011, diadakan untuk mewujudkan platform advokasi termasuk dalam kalangan masyarakat untuk meneruskan usaha membanteras denggi secara berterusan dan bersepadu.
Dengan tema ‘10 Minit Hapuskan Aedes’ sempena Sambutan Hari Denggi Asean peringkat kebangsaan, Dr Adham berkata, mesej yang ingin disampaikan adalah masyarakat meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk melaksanakan aktiviti pembersihan persekitaran dan pemusnahan tempat pembiakan aedes pada setiap minggu di premis masing-masing.
“Sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, di mana sebahagian besar waktu individu dan masyarakat diluangkan di rumah, kesempatan ini perlu diambil untuk memastikan premis kita bebas dari tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya.
Dr Adham berkata, usaha pencegahan denggi turut diperkasakan melalui penglibatan pasukan sukarelawan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI) di seluruh negara, yang menjalankan aktiviti promosi pencegahan denggi melalui pendekatan normal baharu seperti media sosial.
Sehingga 31 Mei lepas, terdapat sebanyak 3,084 pasukan COMBI, dengan penyertaan seramai 28,381 sukarelawan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!