Lelaki Nigeria perdaya ustazah sehingga rugi lebih RM70,000 ditahan
MELAKA - Polis telah menahan seorang lelaki warga Nigeria pada Ahad selepas disyaki terlibat dalam aktiviti Love Scam sehingga mengakibatkan seorang ustazah kerugian lebih RM70,000 akhir bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan polis dari JSJK Melaka dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Alor Gajah dalam Ops Tiong di sebuah apartmen di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, kira- kira jam 12 tengah hari.
"Siasatan mendapati suspek telah menggunakan nama Mahmudin Jaafar di laman Facebook untuk menipu mangsa.
"Suspek dipercayai menjalankan aktiviti itu bersama rakan penjenayah lain dan usaha mengesan individu itu sedang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, semakan mendapati suspek tinggal di negara ini sejak Mac tahun lalu dan telah menggunakan pas lawatan, namun ia telah tamat tempoh.
Dalam serbuan yang dilakukan, polis telah merampas 14 keping kad juruwang automatik (ATM) pelbagai bank yang didaftarkan atas nama individu lain, sampul kurier, pasport dan sebuah iPad.
"Suspek juga didapati tinggal lebih masa di negara ini dan kini telah direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, guru agama kerugian lebih RM78,000 selepas diperdaya lelaki yang baru dikenali melalui Facebook akhir bulan lalu.
E Sundra berkata, mangsa berusia 49 tahun terpedaya selepas dijanjikan suspek untuk memberinya hadiah perkenalan.
ARTIKEL BERKAITAN: Ustazah rugi RM78,214 terpedaya hadiah barang kemas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!