Wanita dituduh tipu jual telefon bimbit
KOTA KINABALU - Seorang wanita mengaku tidak bersalah atas kesalahan menipu dengan menjual pelbagai jenis telefon bimbit berjumlah RM9,000 di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada Selasa.
Tertuduh, Nurul Hatikah Kurus, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun.
Menurut pertuduhan, tertuduh antara Februari hingga Mei 2020 bertempat di Terminal Inanam didapati telah menipu seorang individu dengan memperdayakannya untuk membeli pelbagai jenis telefon bimbit Samsung dan IPhone.
Individu itu terdorong memasukkan wang RM9,000 ke dalam tiga akaun berbeza milik tertuduh yang mana individu terbabit tidak akan menyerahkan wangnya jika tidak terpedaya sedemikian.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 bersama dua penjamin tempatan kepada tertuduh dan sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Julai depan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Albert Basiri manakala tertuduh diwakili peguamnya, Yusri Pungut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!