Tidak serik 'kantoi' mencuri, pengawal keselamatan dijel setahun
KAJANG - Tidak serik mencuri, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh, Shah Azwan Abdullah, 23, mengaku salah setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Mengikut pertuduhan, Shah Azwan didakwa mencuri telefon bimbit jenis Redmi Note 5 Plus dan wang RM20 milik pemandu e-hailing, Tyndale Hiew Ten Der, 47.
Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah kereta di Jalan Jasmin 17 di sini, pada jam 11 malam, 9 Jun lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Shah Azwan yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pemenjaraan kerana ini merupakan kesalahan ketiga dilakukan.
Mengikut rekod mahkamah, tertuduh sebelum ini disabitkan atas kesalahan bagi kes dadah pada 2017 dan dua kes mencuri pada tahun 2018 serta 2019.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!