Rentas negeri, aktiviti sosial dibenarkan dalam fasa keempat
SHAH ALAM - Kerajaan membenarkan aktiviti sosial, perjalanan rentas negeri, pelancongan domestik dan semua sektor ekonomi dibuka semula pada fasa keempat Pelan Pemulihan Negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fasa keempat merupakan fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara rakyat mungkin dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian.
“Semua sektor ekonomi akan dibuka, lebih banyak aktiviti sosial akan dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada prosedur standard operasi (SOP) yang ketat.
“Fasa ini dapat dilaksanakan apabila bilangan kes Covid -19 rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok selewatnya pada akhir tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Perutusan Khas Perdana Menteri, Pelan Pemulihan Negara yang disiarkan di beberapa stesen televisyen tempatan pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan boleh terus mengambil keputusan untuk bergerak ke Fasa seterusnya jika berjaya dalam tiga indikator utama pada mana-mana fasa.
“Insya-ALLAH, apabila kita telah mencapai imuniti kelompok pada Fasa Keempat, perkara-perkara ini dapat kita lakukan secara berperingkat dengan pematuhan kepada SOP yang ketat.
“Kejayaan kita mencapai imuniti kelompok pula bergantung kepada berapa ramai rakyat negara ini dapat menerima suntikan vaksin.
“Kesemua SOP bagi fasa-fasa yang saya sebutkan tadi akan diperincikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan diumumkan dalam masa terdekat,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelan Pemulihan Negara rangkumi empat fasa: PM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!