Armada nafi keluar surat berhubung gerakan khianat dalam PN
PUNCAK ALAM - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan mengeluarkan satu kenyataan media kononnya terdapat pengkhianatan di dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketuanya, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, surat itu hanya percubaan untuk melagakan ahli jemaah menteri membabitkan Muhyiddin, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menurutnya, penyebaran surat palsu menggunakan nama beliau itu sebagai tidak bertanggungjawab dan disifatkan hanya menangguk di air keruh sempena Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada Rabu.
"Di pihak kerajaan kita tidak langsung gentar dengan sebarang kemungkinan kerana fokus utama kita ialah selesaikan darurat kesihatan sehingga Ogos depan.
"Insya-ALLAH, kalau (semua pimpinan PN) berpakat, kita boleh ketepikan politik kepartian dan membantu rakyat menghadapi pandemik agar Malaysia kembali pulih dan rakyat boleh bekerja seperti biasa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Berlian, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam pada Selasa.
Tular kepala surat kononnya Armada Bersatu memberi amaran keras terhadap mana-mana pihak cuba menggugat kepimpinan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu.
Surat palsu itu mendakwa terdapat gerakan khianat secara agresif cuba menumbangkan Muhyiddin dengan mengumpul tandangan akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!