Kerajaan kaji polisi babitkan warga asing
BUKIT MERTAJAM - Kementerian Dalam Negeri akan mengkaji dan mengeluarkan satu polisi membabitkan warga asing bagi menyelesaikan masalah-masalah yang timbul, khususnya yang memberi kesan kepada masyarakat tempatan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya akan berbincang dengan semua pihak termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara tentang apa yang perlu diketengahkan dalam polisi berkenaan.
“Terdapat banyak aduan dari masyarakat di sini berkenaan warga asing. Sebagai contoh, satu unit rumah yang mempunyai tiga bilik menempatkan tiga buah keluarga. Ini menimbulkan masalah bising.
"Selain itu ada aduan daripada penduduk tempatan yang mengatakan warga asing ini terlibat dengan masalah dadah,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke dua lokasi yang diperiksa Jabatan Imigresen termasuk hampir 100 warga asing di sini pada Selasa termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Mengulas tentang kesediaan UNHCR untuk berkongsi butiran pemegang kadnya dengan jaminan bahawa pelarian tidak akan ditangkap, beliau berkata: "Adalah baik jika mereka mahu berkongsi tetapi jika mereka meletakkan syarat, mereka sebenarnya tidak ikhlas.”
“UNHCR beri kad kepada mereka tetapi tiada ‘enforcement’(penguatkuasaan). Jika sudah tamat tempoh dan mereka masih menetap di sini, kita tidak tahu bagaimana hendak mencari mereka kerana UNHCR tidak berkongsi butiran itu kepada kita,” katanya.
Katanya, perkara ini boleh diselesaikan dengan lebih teratur jika ada polisi dan segala percanggahan pendapat boleh dielakkan.
Ketika ditanyakan adakah kerajaan akan mempertimbangkan penggunaan kem pelarian, Hamzah berkata, "Itu adalah salah satu daripada cadangan diutarakan tetapi saya tidak berapa pasti jenis kem pelarian yang macam mana, kami perlu melihat kepada realiti, lokasi, infrastruktur. Semua ini perlu diambil kira.” - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!