Bentuk kerajaan baharu ada agenda tersembunyi: Pas Johor

Khairul Faizi
Khairul Faizi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Rancangan beberapa pemimpin politik mahu membentuk kerajaan baharu atau kerajaan sementara bagi menggantikan Perikatan Nasional (PN) didakwa mempunyai muslihat dan agenda tersembunyi.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pihak berkenaan menggunakan istilah baharu menerusi kerjasama parti-parti politik walaupun sebelum ini mereka bermusuhan antara satu sama lain.

"Jajaran Harapan atau khemah besar atau apapun istilah yang muncul kini adalah usaha untuk mencetus dan membentuk gabungan baharu bagi merealisasikan usaha mereka membentuk kerajaan baharu mengikut acuan mereka.

"Malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih berusaha untuk memastikan beliau terus memimpin negara melalui Majlis Gerakan Negara (Mageran) ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini.

"Justeru telitilah sejarah yang telah kita lalui, jangan ulangi kesilapan yang akhirnya membawa rebah oleh mereka yang ada agenda tersembunyi seperti kata pepatah, sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan bakal terbentuk jajaran baharu politik bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang akan dikenali sebagai Perikatan 3.0 dan bukannya PN ketika Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Pendedahan terbuka Zahid itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi khabar angin sebelum ini dengan menyifatkan langkah tersebut diambil sesuai dengan dinamik politik yang sedang berlaku mengikut perubahan dan keadaan politik semasa negara.

Poster Jajaran Harapan yang menampilkan Ahmad Zahid bersama-sama pemimpin Pakatan Harapan (PH) iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu tular dalam media sosial.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!