Hanya mereka yang jahat, bukan kita

A
A
A

SECARA fitrahnya, semua manusia dilahirkan dalam keadaan baik dan bersih. Namun setelah melalui pelbagai proses kehidupan, watak dan perangai manusia mula berubah. Apa yang paling ketara, hanya nampak kesalahan orang lain dan amat jarang melihat kesalahan diri sendiri.

Jari telunjuk kerap kali dituding kepada orang lain, namun hakikatnya banyak lagi jari-jemari ditunjuk kepada diri sendiri. Natijahnya, kita begitu suka menegur dan mengkritik orang lain dan amat tidak suka orang lain menegur diri kita.

Jika sikap sebegini diamalkan oleh semua individu, adalah jelas orang lain juga melihat kita yang bermasalah dan bukannya mereka. Akhirnya, tiada siapa yang mengaku mereka bersalah.

Sebetulnya, perkataan jahat itu membawa maksud segala kelakuan buruk yang kita lakukan sama ada secara sedikit atau banyak di mana boleh memberi kemudaratan pada orang lain dan juga kepada diri sendiri.

Bagi mereka yang lakukan banyak kejahatan, pelbagai istilah digelarkan kepada mereka seperti; ‘Jahat seperti binatang’ dan ‘Jahat seperti iblis. Adakalanya mereka digelar, ‘Jahat macam Firaun’.

Kebiasaannya gelaran sebegitu dilemparkan kepada mereka yang telah melakukan kejahatan sehingga dihukum ke penjara dan pelbagai pusat rawatan penagihan serta pemulihan akhlak. Kesannya, ramai yang cuba mengelak untuk tidak melakukan kejahatan yang membolehkan mereka terjerumus ke tempat-tempat berkenaan.

Namun begitu, mereka tidak sedar bahawa kadangkala ‘kejahatan’ yang mereka lakukan hari ini lebih teruk berbanding dengan mereka yang telah dihukum tadi.

Secara umumnya, ramai yang terperangkap dalam kerangka fikir yang sempit atau fixed mindset dalam menterjemahkan nilai jahat itu sendiri. Bagi mereka, kejahatan itu adalah sesuatu perbuatan yang kita boleh nampak dan dinilai.

Artikel Berkaitan:

Justeru, perbuatan mencuri, berzina, meragut, mabuk, melacur, menagih, merempit dan pelbagai lagi perbuatan yang keji adalah jelas membuktikan salah laku jahat. Namun ramai yang yang tidak menyedari bahawa ‘pemikiran yang jahat’ serta ‘hati yang jahat’ adalah lebih teruk nilai kejahatannya berbanding dengan perbuatan yang keji tadi. Apa yang nyata, pemikiran dan hati yang jahat ini merentasi semua golongan termasuklah ahli ibadat itu sendiri.

Berkaitan hal ini, menurut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., “Aku mendengar Nabi SAW bersabda, Ada dua orang lelaki daripada Bani Israel yang saling bersaudara. Seorang daripada mereka suka membuat dosa, sementara yang lain giat dalam beribadat. Orang yang giat dalam beribadat selalu melihat saudaranya berbuat dosa hingga ia berkata, ‘Berhentilah’. Lalu pada suatu hari ia kembali mendapati saudaranya berbuat dosa. Ia berkata lagi, ‘Berhentilah’. Orang yang suka berbuat dosa itu berkata, ‘Biarkan aku bersama Tuhanku, apakah engkau diutus untuk selalu mengawasiku?”.

Ahli ibadat itu berkata, "Demi ALLAH sungguh ALLAH tidak akan mengampunimu atau tidak akan memasukkanmu ke dalam syurga". Kemudian, ALLAH mencabut nyawa kedua-duanya sehingga mereka berkumpul di sisi Rabb semesta alam. Kemudian ALLAH bertanya kepada ahli ibadat, "Apakah kamu lebih tahu daripada Ku?, atau apakah kamu mampu melakukan apa yang ada dalam kekuasaanku?".

ALLAH lalu berkata kepada pelaku dosa, "Pergi dan masuklah kamu ke dalam syurga dengan rahmat Ku’, dan berkata kepada ahli ibadat, ‘Pergilah kamu ke dalam neraka."’. Abu Hurairah r.a. berkata, “Demi Zat yang jiwaku ada ditangan-Nya, sungguh dia telah mengucapkan satu ucapan yang mampu merosakkan dunia dan akhiratnya.” (HR Ahmad dan Abu Dawud)

Memandangkan tiada penjara di dunia ini yang boleh menghukum mereka yang mempunyai pemikiran dan hati yang jahat, maka berleluasalah sikap sebegini di atas muka bumi.

Sebetulnya, berfikir jahat bermaksud, sentiasa meletakkan persepsi yang salah terhadap seseorang. Apa yang nyata, kita lebih banyak berburuk sangka kepada mereka. Pendek kata segala perbuatan mereka adalah sentiasa salah di sisi kita.

Manakala hati yang jahat pula bermaksud sentiasa mencari jalan untuk merosakkan reputasi mereka. Setelah mereka jatuh, barulah hati kita menjadi puas. Pendek kata, kerja mereka adalah lebih kepada merosakkan orang lain daripada membina reputasi sendiri. Pelbagai senjata digunakan untuk merosakkan reputasi orang lain termasuklah memfitnah dan suka memburuk-burukkan seseorang itu.

Sikap mereka ini seumpama membawa kereta hanya dengan tujuan untuk menghimpit orang lain dan bukannya memberi fokus untuk sampai ke tujuan yang sebenar. Ya, mungkin mereka berjaya untuk menterbabaskan kereta orang lain, namun apabila mereka sendiri sudah terbabas barulah mereka sedar bahawa bumi ini cukup hanyir apabila tersungkur rebah menyembah tanah.

Cukuplah untuk mengadili orang lain, sebaliknya teruslah berusaha untuk memperbaiki diri. Kadangkala, usia sudah menghampiri pencen pun masih lagi tidak dapat membuat renung nilai kepada diri sendiri. Kalaulah orang yang rajin beribadat pun dicampakkan oleh ALLAH ke neraka kerana terpesong niatnya, apatah lagi diri kita ini yang masih jahil.

Justeru, jagalah dua hujung di badan kita iaitu; hujung lidah, agar tidak lagi suka mengata pada orang dan hujung jari, agar tidak lagi menyebar fitnah dan aib orang. Fokuslah mencari keredaan ALLAH.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!