Gabungan Celcom-Digi dimeterai sebelum akhir bulan ini
AXIATA Group Bhd yakin perjanjian muktamad membabitkan cadangan penggabungan Celcom Axiata Bhd dan Digi.com Bhd dapat dimeterai menjelang akhir bulan ini.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Izzaddin Idris berkata Axiata dan firma Norway, Telenor Group telah melengkapkan aspek ketekunan wajar yang ditetapkan oleh kedua-dua pihak.
“Kami kini dalam proses memuktamadkan perjanjian itu dan berharap ia dapat dimeterai dalam tempoh terdekat. Ini mungkin sama ada beberapa hari atau seminggu, bergantung kepada usaha meleraikan beberapa isu berkaitan.
“Seperti yang diumumkan pada 8 April lepas, perbincangan mengenai penggabungan itu dapat dimuktamadkan menjelang akhir suku kedua tahun ini. Oleh itu, kami masih mempunyai kira-kira 15 hari lagi untuk mengetengahkan hasilnya,” kata beliau pada sidang media secara maya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-29 Axiata di sini, pada Selasa.
Izzaddin menjelaskan, selepas pemeteraian itu, Axiata akan mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mendapatkan kelulusan pihak berwajib itu.
“Kami telah melengkapkan perkara asas dan melakukan usaha wajar dengan pihak MCMC bagi mengambil maklum kebimbangan mereka serta isu yang berbangkit. Malah, kami juga telah melantik pihak perunding untuk menjalankan kajian ekonomi dari segi bahagian pasaran serta kesan penggabungan terhadap pasaran,” katanya.
Menurut Izzaddin, pada sesi AGM itu, kalangan pemegang saham juga positif serta menyuarakan harapan mengenai cadangan penggabungan tersebut dari sudut kualiti perkhidmatan dan impaknya ke atas pelanggan.
Pada sesi sama, Axiata turut menegaskan komitmen untuk terus menerajui usaha keterangkuman digital serta melabur dalam teknologi terkini dan infrastruktur rangkaian bagi memantapkan pengalaman pelanggan, komuniti serta menyokong usaha-usaha kerajaan, katanya.
“Menerusi usaha berpandukan Visi Axiata 5.0 untuk meningkatkan daya tahan serta mencapai cita-cita sebagai Jaguh Digital Generasi Akan Datang menjelang 2024, aspek kekuatan dalaman kumpulan akan dipertingkat agar lebih tangkas selain peningkatan skala dan sinerginya.
“Strategi tiga teras perniagaan kami merangkumi syarikat telekomunikasi digital, perniagaan digital dan infrastruktur berkaitan sememangnya digerakkan secara aktif untuk menyokong usaha-usaha pembentukan nilai, termasuk membayar dividen lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Axiata Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid berkata, antara keutamaan adalah menumpukan usaha bagi memastikan daya tahan kewangan dan operasi kumpulan serta meraih pertumbuhan mampan dan saksama.
“Bagi meningkatkan lagi komitmen sebagai organisasi yang bertanggungjawab secara sosial, ahli Lembaga Pengarah juga gembira di atas usaha Axiata memacu tindakan alam sekitar dengan memulakan pembangunan Pelan Tindakan Karbon Sifar-Bersih. Malah, usaha berterusan kami dalam aspek ini telah membolehkan Axiata meraih ‘A’ bagi Penarafan MCSI ESG.
“Sejajar dengan prestasi memberangsangkan pada 2020, Axiata telah membayar dividen tahun penuh sebanyak tujuh sen bagi sesaham biasa yang turut merangkumi dividen interim dua sen sesaham biasa yang diumumkan bagi tempoh kewangan berakhir pada 30 Jun 2020,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!