Peluang terakhir Harimau Malaya buru tangga ketiga

Cheng Hoe (tengah) dan Farizal dalam sidang media praperlawanan menentang Thailand di Dubai pada Selasa. - Foto FB FAM
Cheng Hoe (tengah) dan Farizal dalam sidang media praperlawanan menentang Thailand di Dubai pada Selasa. - Foto FB FAM
A
A
A

HARIMAU Malaya digesa untuk mempertingkatkan tahap permainan mereka ketika menentang Thailand tengah malam ini bagi menamatkan aksi Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di tempat ketiga Kumpulan G.

Selepas dua kekalahan berturut-turut ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam, Cheng Hoe berharap, anak-anak buahnya akan dapat keyakinan dan momentum yang baik ketika berhadapan dengan Gajah Perang di Al Maktoum Stadium, Dubai nanti.

“Kami telah bekerja keras setiap hari bagi mendapatkan keputusan yang positif, namun dua perlawanan terakhir amat mengecewakan untuk setiap dan semua dalam pasukan. Saya tahu Thailand satu pasukan yang bagus, kuat dan seimbang.

“Ia bukanlah suatu yang mudah, setiap kali Malaysia menentang mereka. Tetapi saya masih berharap untuk kita bermain dengan baik dan mendapat keputusan yang bagus,” katanya dalam sidang media praperlawanan di Dubai pada Selasa.

Walaupun terpaksa bermain tanpa kehadiran tiga tonggak utama - Corbin-Ong, Syamer Kutty Abba dan Mohamadou Sumareh yang masing-masing digantung satu perlawanan selepas menerima dua kad kuning, jurulatih berusia 53 tahun itu berharap mana-mana pemain yang diberikan kepercayaan akan dapat memenuhi kekosongan itu.

Cheng Hoe juga tidak menolak kemungkinan akan memberikan peluang bermain kepada beberapa pemain dalam pasukan yang masih menunggu peluang untuk menunjukkan keupayaan mereka.

Sementara itu, penjaga gawang negara Mohd Farizal Marlias percaya mereka mampu kembali dengan keputusan yang positif pada perlawanan terakhir bagi memastikan kelayakan automatik ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023.

“Kita akan hadapi satu lagi perlawanan penting, saya percaya kita boleh lakukan lebih baik dan apa yang penting ialah persediaan. Saya percaya kita akan dapat keputusan yang positif,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Walaupun berkongsi sembilan mata selepas tujuh perlawanan, Thailand pada ketika ini berada di tempat ketiga dalam kumpulan di atas Malaysia dengan kelebihan gol.

Ini bermakna hanya kemenangan dapat menjamin kedudukan tempat ketiga dalam kumpulan, sekali gus mengelakkan perlawanan ‘playoff’ untuk ke pusingan selanjutnya.

Vietnam yang tidak pernah kalah mengungguli Kumpulan G dengan 17 mata, diikuti UAE (15 mata), manakala Indonesia di kedudukan tercorot dengan satu mata. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!