Thailand uji vaksin Covid-19 pertama ke atas manusia

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

BANGKOK - Universiti Chulalongkorn Thailand pada Isnin memulakan ujian ke atas manusia menggunakan calon vaksin RNA (mRNA) Covid-19 dinamakan ChulaCov19.

Timbalan jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun berkata, ujian itu melibatkan 74 sukarelawan berusia antara 18 hingga 55 tahun serta kumpulan usia antara 65 hingga 75 tahun yang dibahagikan kepada tiga kumpulan.

"Sukarelawan tersebut diberi dos vaksin yang berlainan mengikut usia mereka untuk menguji kepekatan yang diperlukan untuk menghasilkan imuniti.

"Ujian kedua akan dilakukan pada Ogos membabitkan kumpulan lebih besar antara 150 hingga 300 orang," katanya semasa taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Vaksin Covid-19 Pfizer dan Moderna dihasilkan menggunakan kaedah mRNA.

Sementara itu, pengarah Hospital Memorial Chulalongkorn Profesor Dr Suttipong Wacharasindhu dipetik PBS Thailand berkata vaksin itu diberikan kepada sukarelawan yang sihat dalam dua fasa di bawah pengawasan rapi doktor, jururawat dan penyelidik.

"Sekiranya kedua-dua fasa percubaan membuktikan keberkesanan dan keselamatan vaksin yang tinggi, ia tidak perlu melalui fasa ketiga dan boleh diluluskan untuk pengeluaran besar-besaran sebelum pertengahan 2022," kata Dr. Suttipong, yang juga Dekan Fakulti Perubatan Universiti Chulalongkorn. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!