England terpaksa lupakan khidmat Henderson
PENJAGA gol sensasi Manchester United, Dean Henderson terpaksa melupakan hasrat beraksi bersama England pada Euro 2020 selepas mengalami kecederaan pinggul.
Menurut Persatuan Bola Sepak England, penjaga gol simpanan The Three Lions berusia 24 tahun tersebut akan digantikan pemain Sheffield United, Aaron Ramsdale bagi melengkapkan senarai 26 pemain skuad kendalian Gareth Southgate.
"Penjaga gol Manchester United, Dean Henderson akan kembali semula ke kelabnya bagi menjalani proses rawatan dan pemulihan menjelang saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2021/22.
"Ramsdale pernah bermain dibawah kendalian Southgate semasa pra musim di Middlesbrough, sebelum ini beraksi bersama England pada saingan Euro Bawah 21 tahun di Slovenia pada Mac.
"Pemain Sheffield United, Ramsdale akan menjalani protokol ujian Covid-19, sebelum menyertai kem England," kata FA Inggeris.
Ramsdale, 23, yang belum menerima cap bagi penampilan bersama skuad senior, akan menyertai Jordan Pickford dan Sam Johnstone.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!