Malaysia cadang ASEAN wujudkan rangkaian pusat pertahanan siber

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mencadangkan penubuhan Rangkaian Pusat Pertahanan ASEAN yang dikenali sebagai ASEAN Cyber Defence Network (ACDN).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi inisiatif itu, ACDN akan menghubungkan semua pusat operasi pertahanan siber negara anggota ASEAN untuk memanfaatkan kepakaran pertahanan siber negara anggota ASEAN (AMS).

“Inisiatif ini juga akan berfungsi sebagai platform pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik serta membina keyakinan dan kesediaan dalam isu berkaitan dengan pertahanan siber,” katanya dalam kenyataan selepas mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-15 yang diadakan melalui persidangan video pada Selasa.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan II Brunei Darussalam Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Halbi bin Haji Md Yussof, selaku Pengerusi ADMM 2021.

Pada mesyuarat yang diakhiri dengan Deklarasi Bandar Seri Begawan bagi meraikan ulang tahun ke-15 ADMM itu, semua negara ASEAN juga bersetuju supaya ADMM terus menjadi platform utama kerjasama pertahanan multilateral di rantau ini, dengan ASEAN sebagai peneraju utama.

Sementara itu, ketika menyertai Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-China secara persidangan video hari ini, Ismail Sabri mengulangi pendirian Malaysia bahawa walaupun undang-undang antarabangsa menjamin kebebasan navigasi, kehadiran aset ketenteraan di Laut China Selatan berpotensi untuk meningkatkan ketegangan.

Katanya, kehadiran aset-aset ketenteraan sedemikian berupaya menyebabkan konflik yang boleh menjejaskan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau.

“Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat-mesyuarat ini menandakan komitmen berterusan Malaysia terhadap diplomasi pertahanan melalui kerjasama pertahanan dua hala dan pelbagai hala,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!