Harimau Malaya kembali mengaum

Akhyar ketika melakukan percubaan ke gawang gol Thailand. - Foto FAM
Akhyar ketika melakukan percubaan ke gawang gol Thailand. - Foto FAM
A
A
A

HARIMAU Malaya akhirnya merasai nikmat kemenangan apabila berjaya menewaskan Thailand 1-0 dalam aksi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai pada awal pagi Rabu.

Ia sekali gus menamatkan badi kekalahan buat pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu yang sebelum ini tewas dua perlawanan berturut-turut kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam baru-baru ini.

Kemenangan itu juga menyaksikan skuad negara berjaya mara ke pusingan akhir kelayakan Piala Asia selepas mengakhiri kempen kali ini di kedudukan ketiga Kumpulan G.

Dalam perlawanan itu, Cheng Hoe melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama dengan memasukkan Khairulazhan Khalid, Muhammad Syahmi Safari, Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Hanapi dan Akhyar Rashid nyata memberikan impak positif dalam corak permainan skuad negara berbanding dua perlawanan sebelum ini.

Harimau Malaya memulakan perlawanan dengan baik apabila berpeluang berada di hadapan menerusi larian daripada Akhyar selepas menerima hantaran daripada Guilherme de Paula pada minit ke-18, namun percubaannya sedikit tersasar ke sebelah kanan gawang gol Thailand.

Pasukan Gajah Perang turut mengancam kubu negara dan hampir menghukum kealpaan barisan pertahanan dengan beberapa percubaan, namun mereka turut dibayangi dengan ketumpulan jentera serangan untuk mendapatkan gol.

Separuh masa kedua, Cheng Hoe melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Safawi Rasid menggantikan Arif Aiman dan Brendan Gan dikeluarkan digantikan oleh Muhammad Syafiq Ahmad.

Kemasukkan Safawi menghadiahkan penalti kepada skuad negara apabila dia dijatuhkan oleh pertahanan kiri Thailand, Ernesto Amantegui Phumipha pada minit ke-51.

Artikel Berkaitan:

Safawi tenang meletakkan bola ke dalam gawang sekali gus menghasilkan gol kemenangan Harimau Malaya walaupun tendangannya sempat disentuh oleh penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga penghujung perlawanan walaupun Thailand cuba melakukan beberapa asakan di penghujung babak perlawanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!