Portugal kecewakan Hungary dalam enam minit

Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ketiga pada perlawanan berkenaan.
Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ketiga pada perlawanan berkenaan.
A
A
A

TIGA gol dalam tempoh enam minit menyaksikan juara bertahan, Portugal menewaskan Hungary 3-0 pada aksi pembukaan Kumpulan F, Euro 2020 di Arena Puskas, pada awal pagi Rabu.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah, namun seperti diramalkan, Portugal dilihat lebih menguasai perlawanan pada babak pertama menerusi beberapa asakan ke gawang Hungary bagi membuka jaringan.

Bagaimanapun, jentera serangan Portugal diterajui Diogo Jota serta kapten, Cristiano Ronaldo seakan buntu untuk menembusi benteng pertahanan The Golden Team itu dan menyaksikan kedua kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan menuju ke bilik persalinan.

Babak kedua menyaksikan Hungary mula mempamerkan kebangkitan dan minit ke-80 menyaksikan pemain gantian Szabolcs Schon berjaya membolosi pintu gol Portugal, namun jaringannya dibatalkan pengadil kerana Schon didapati ofsaid terlebih dahulu.

Tempoh 10 minit terakhir menyaksikan Portugal pula yang semakin hebat mengasak ke gawang Hungary dan hasilnya Raphael Guerreiro akhirnya berjaya membuka jaringan pada minit ke-84 sebelum Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua pada minit ke-87 dan seterusnya menjaringkan gol ketiga bagi mengesahkan kemenangan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!