Permit lulus bila bangunan sah selamat
IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak akan meluluskan permit terhadap mana-mana premis sekiranya pelan bangunan tidak mendapat pengesahan keselamatan daripada agensi teknikal.
Setiausahanya, Mohd Zakuan Zakaria berkata, kelulusan berkenaan hanya akan diberikan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) selepas mendapat pandangan agensi berkaitan termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Sebelum kita luluskan kebenaran merancang, kita akan dapatkan ulasan dan pandangan agensi teknikal terlebih dahulu.. itu prinsipnya dan sekiranya dimaklumkan pelan bangunan itu sendiri sebagai tidak selamat maka permit tidak akan diluluskan," katanya ketika ditemui, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes kebakaran membabitkan sebuah pusat hiburan di Ipoh, Rabu lalu yang mengorbankan enam mangsa.
Kejadian sekitar jam 5.30 pagi itu membabitkan tingkat empat dan lima bangunan yang menempatkan 15 bilik karaoke, mengikut pelan asal, bangunan itu adalah untuk kegunaan pejabat sebelum ditukar status kepada pusat hiburan.
Mengulas lanjut, Mohd Zakuan berkata, bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) hanyalah membabitkan kelulusan permit bangunan yang mana aspek keselamatannya telah dirujuk kepada JBPM.
"Hal-hal lain berkaitan lesen hiburan adalah di bawah pentadbiran Pejabat Tanah dan Daerah. Begitu juga jika berlaku pertukaran status bangunan, ia adalah dengan kebenaran dari Jabatan Perancang Bandar MBI ," katanya.
Terdahulu, beliau ditemui pada majlis gotong-royong bersama lebih 700 kakitangan dan Ahli Majlis MBI di Medan Selera Dato Tahwil Azar dan Pasar Ayam Ipoh.
Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, MBI telah menganjurkan sebanyak 21 gotong-royong dan memasang 35 papan tanda ‘Dilarang Membuang Sampah’.
Sementara itu, Adun Kepayang, Dr Ko Chung Sen berharap, aktiviti dijalankan itu mampu mendidik dan memberi kesedaran kepada orang awam untuk memastikan Ipoh sebagai sebuah bandar raya yang bersih.
“Tambahan pula Ipoh tersenarai dalam 10 bandar yang perlu dilawati di Asia, jadi selain makanan yang sedap, kita juga perlu pastikan persekitaran yang ada selesa untuk pelancong,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kebakaran pusat hiburan: Empat lagi mayat ditemui
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!