Alumni setinggan Pantai Dalam
‘ISTANA’ pertama saya di Kuala Lumpur terletak di Kampung Limau, Pantai Dalam. Rumah setinggan. Sewanya RM180 sebulan. Bunyinya memang sangat murah. Tetapi jika dikira mengikut kalkulator Indeks Harga Pengguna Malaysia, RM180 pada sekitar tahun 1990 nilainya lebih kurang sama dengan RM400 sekarang.
Mungkin ada yang menganggap RM400 itu juga masih murah sebab yang disewa adalah rumah bukannya bilik. Sekarang ini bilik sekangkang kera pun ada yang kadar sewanya lebih RM450 sebulan. Itu pun selalunya bilik tanpa tingkap. Yang bertingkap lain harganya.
Rumah yang saya sewa secara berkongsi itu hanya mempunyai satu bilik dengan sedikit ruang tamu dan ruang dapur yang kecil. Ia rumah papan dengan tiang kayu. Sesuailah. Apa perlu dapur yang luas kalau kegunaan utamanya hanyalah untuk memasak mi segera.
Ketika tidur bertemu antara kepala dan kaki kawan. Silap gaya tidur dengan bau kaki sepanjang malam. Penat bekerja kadangkala tidak sempat menyuci badan. Dengan stokin yang masih terpakai, berbantalkan jaket motor pun boleh terlena.
Sesak dan berselirat menjadi identiti mana-mana juga penempatan setinggan di dunia ini. Pantai Dalam juga sama keadaannya. Tetapi sesaknya tidaklah seteruk penempatan setinggan Khayelitsha di Cape Town, Afrika Selatan; keadaan berseliratnya juga tidak seburuk di Bendungan Hilir, Jakarta Tengah, manakala rumah-rumahnya, hatta yang paling teruk sekalipun berkeadaan jauh lebih baik daripada yang terdapat di Tondo, Manila atau di Vyasarpadi dan Royapuram di Chennai, India.
Selain jalan utama yang menghubungkan Pantai Dalam dengan Jalan Bangsar/Jalan Pantai Baharu di satu arah, dan Jalan Klang Lama di arah yang lain, terdapat jalan-jalan kecil yang mencelah masuk ke kawasan penempatan. Sebahagiannya terlalu kecil sehinggakan hanya boleh dilalui oleh sebuah kereta pada satu-satu masa.
Bayangkan kalau rumah bujang dengan lima buah motor dan sebuah kereta, kereta akan di parkir di laluan utama Pantai Dalam ke Bukit Angkasa. Sekarang lorong pintas sudah menjadi jajaran rel keretapi komputer.
Tiada masalah dengan bekalan elektrik dan air walaupun di kawasan tertentu penduduk terpaksa berkongsi paip air awam. Biasa sangat ketika mandi berebut paip air, paling tidak boleh dilupa apabila ada jiran yang garang menunggu di pili air, sehinggalah anaknya selesai mandi. Pergaduhan kecil kerana paip air biasa berlaku.
Namun dalam apa keadaan pun setinggan-setinggan di Kuala Lumpur tidak perlu menggunakan air Sungai Kelang dan Sungai Gombak untuk keperluan harian sebagaimana setinggan di Jakarta dengan Sungai Ciliwung atau setinggan di Manila dengan Sungai Pasiq. Itulah hebatnya Malaysia.
Kebanyakan penduduk Pantai Dalam waktu itu adalah pekerja kolar biru. Pekerja kilang, pengawal keselamatan, buruh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pemandu, tukang tarik kereta dan tidak terkecuali ‘mat despatch’ macam saya. Siswa-siswi IPTA berdekatan pun ada juga tetapi tidak ramai. Majoriti mereka menyewa di Bukit Angkasa.
Selain itu terdapat geng kolar putih dari sektor awam dan swasta termasuk seorang jiran yang memberitahu saya dia bekerja sebagai eksekutif kanan di sebuah bank. Siang malam dia bertali leher. Nampak betul sibuknya. Apabila terserempak dengannya di sebuah medan makan di Cheras baru saya tahu kenapa dia sibuk. Rupa-rupanya dia pergi dari meja ke meja, menjual alat pengurut Made in China.
Ramai juga di kalangan penduduk Pantai Dalam yang mencari rezeki dengan berniaga. Penjaja buah potong, peraih durian, pengusaha kedai makan, peniaga pasar pagi dan pasar malam, semuanya ada. Kontraktor dan broker jangan cerita. Yang bisnesnya berbilion-bilion, tetapi begitu merendah diri dengan berpejabat di kedai kopi sahaja pun ada.
Walaupun berstatus setinggan ada penduduk sebenarnya kaya-raya. Di rumahnya menjalar kereta mewah tiga empat buah. Tidak semestinya rumah besar. Ada juga yang rumah macam pondok tunggu durian tetapi di depannya tetap ada kereta mewah.
Paling seronok ketika musim hujan lebat, semua akan bergegas pulang, menyelamatkan bantal dan kusyen yang terapung. Termasuklah yang terapung itu dari kotak kumbahan najis.
Majoriti penduduk Pantai Dalam adalah orang Melayu yang datangnya dari merata pelosok negara. Saya rasa yang paling ramai orang Kelantan. Kemahiran berniaga menyebabkan sahabat-sahabat kita dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu menguasai kebanyakan perniagaan di Pantai Dalam. Malah di Pasar Ahad, yang diadakan pada setiap pagi minggu, merekalah yang dominan.
Saya tidak ada pengalaman dengan Pasar Ahad itu sebab sebagai orang bujang hari Ahad adalah hari untuk bangun lewat dan hari di mana selepas terjaga dari tidur, perkara pertama yang mesti dilakukan adalah dengan bergolek-golek di tilam sehingga terlena sekali lagi.
Tetapi dengan pasar malam yang diadakan pada setiap Rabu, pengalaman saya agak banyak. Asalkan kelapangan, saya akan menjenguknya. Terasa ruginya kalau tidak pergi sebab pada malam itu banyak ‘bunga-bungaan’ yang keluar dari sarangnya. Ada bermacam-macam rupa paras dan rupa bentuk. Statusnya pun pelbagai; pekerja kilang, siswi, guru pelatih, ‘budak opis gomen’, yang baru sampai dari kampung dan menumpang di rumah kawan, semuanya ada. Dan apabila berselisih dengan kita, baunya juga macam-macam, dari bau Channel dan Dior sehinggalah bau bedak sejuk dan bedak Siam.
Ragam penduduk memang pelbagai. Ketika itu belum muncul istilah ‘membawang’, Astro pun belum ada. Jadi ‘mak cik-mak cik serba tahu’ yang kerap bersidang di depan rumah jiran selalunya digelar radio atau kaset. Sementara yang lelaki dewasa ada bermacam-macam ‘kaki’, kaki gebang, kaki ekor dan kaki mengendap, yang muda-muda pula ada kaki dadah, kaki rempit dan kaki rembat.
Tetapi mereka yang bermasalah itu hanyalah minoriti. Yang ramai adalah yang tulus ikhlas menjadikan Pantai Dalam sebagai tempat untuk membina kehidupan. Mereka inilah yang mengimarahkan masjid dan surau, memeriahkan kenduri-kendara, mengekalkan resam dan budaya.
Seboleh yang mungkin mereka berusaha menghidupkan semangat kekitaan yang dibawa dari kampung halaman masing-masing; semangat yang ketika itu kian pudar ditelan kemajuan Kuala Lumpur.
Kerana semangat itulah orang Pantai Dalam sebetulnya akrab dengan cara tersendiri walaupun di mata kasar mereka mungkin kelihatan renggang. Buktinya, kalau anda mencari seseorang dengan menunjukkan nama dan alamatnya mungkin tak siapa tahu.
Tetapi kalau anda bertanya berpandukan gambaran dan perwatakan seseorang, misalnya, “Budak lelaki berambut agak panjang, umur awal 20-an, tak tinggi tak rendah, suka pakai baju kotak-kotak dan naik motor RXZ”, mungkin ramai yang boleh tunjukkan pada anda sehingga ke depan pintu. Ertinya, dalam tak kenal, mereka ambil tahu.
Sesungguhnya Pantai Dalam amat besar jasanya bukan sahaja kepada saya tetapi kepada ramai lagi orang Melayu, tidak kiralah dari rumpun apa dan dari negeri mana datangnya. Seperti penempatan-penempatan setinggan lain ia menjadi tempat perantau mendarat dan seterusnya membina tapak dalam usaha mencari rezeki di kota raya ini.
Bagi budak kampung yang tidak mampu menyewa rumah batu beratap genting seperti saya, tanpa tempat seperti Pantai Dalam, mungkin kami terpaksa berlabuh di kaki lima menjadi gelandangan. Terima kasih Kampung Limau, Pantai Dalam. #dush!
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!