Akuarium istimewa untuk si comel ikan laga
JOHOR BAHRU - Kreativiti seorang lelaki yang menggunakan pasu perhiasan dan laci menyimpan barangan kanak-kanak sebagai 'akuarium' untuk menempatkan ikan laga dipeliharanya di sebuah rumah di flat Taman Bukit Indah 2 menarik perhatian orang ramai.
Muhammad Azhar Nordin, 30, berkata, sebanyak 200 ekor ikan laga pelbagai corak dan warna disimpan dalam pasu kaca dan plastik yang diletakkan di ruang tamu rumahnya.
Katanya, minat membela ikan laga bermula pada Februari lalu dan kebetulan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Pada mulanya saya hanya membeli dua ekor ikan laga, kemudian bertambah menjadi tiga ekor. Hingga kini saya ada kira-kira 200 ekor ikan laga.
"Bila memikirkan keadaan ruang rumah agak terhad sedangkan ikan semakin bertambah, saya menggunakan pasu dan laci (barangan) kanak-kanak untuk menyimpan ikan-ikan laga ini.
"Saya suka item yang 'simple', 'mesra', bersaiz kecil dan cantik. Sekiranya saya sudah 'bersara' dari hobi ini, untuk jangka masa panjang barang-barang tersebut boleh digunakan semula sebagai pasu bunga atau untuk menyimpan barang lain," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Ujarnya, anak ikan laga diletakkan di dalam laci berkenaan manakala ikan laga yang sudah matang atau berusia kira-kira empat bulan ke atas dimasukkan ke dalam pasu kaca.
Pegawai penguat kuasa di sebuah badan berkanun itu mengakui cara penyimpanan dan keunikan dekorasi di rumah berkonsepkan 'modern industrial' itu telah mencuri perhatian warganet hingga tular di laman sosial.
"Sebelum ini, saya ada muat naik gambar di 'group' Kelab Deco Rumah di Facebook. Tak sangka ramai yang teruja dan tertarik melihat keunikan tempat penyimpanan ikan-ikan laga ini.
"Ada juga wanita yang 'tag' kepada suami mereka sebagai rujukan. Tidak kurang juga ada yang memberi komen positif dan negatif. Namun niat saya hanya untuk berkongsi idea dekorasi rumah dan penyimpanan ikan laga yang kebiasaannya menggunakan akuarium semata-mata," katanya.
Tambah lelaki itu, oleh kerana rumahnya mempunyai ruang yang agak terhad, dia memilih warna hitam dan putih untuk hiasan dinding dan pasu kaca yang disusun rapi di ruang tamu untuk ilusi lebih luas.
Bercerita mengenai penjagaan ikan laga, Muhammad Azhar memberitahu, ikan tersebut sangat mudah dipelihara berbanding ikan perhiasan yang lain.
"Saya hanya beri tumpuan kepada penjagaan air dan memilih air rendaman daun ketapang yang tidak asing bagi ikan hiasan. Daun ketapang mengandungi asid humin dan tunnin yang boleh mengurangkan nilai PH atau asid dalam air.
"Namun daun yang dipilih mestilah yang sudah kering kerana hanya yang kering boleh memberi air rendaman optimum untuk ikan laga serta mempercepatkan perubahan warna pada kulit ikan," katanya yang menukar air tersebut setiap dua minggu sekali.
Dalam pada itu katanya, dia pernah kehilangan 50 ekor ikan peliharaannya akibat dijangkiti penyakit dropsy.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!