Buka gym sebab diminta pelanggan, pemilik dikompaun RM10,000
KEPALA BATAS - Lima lelaki termasuk pemilik gimnasium dikenakan kompaun kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan melakukan aktiviti fizikal di dalam premis tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemilik gimnasium berusia 58 tahun dikompaun sebanyak RM10,000 manakala empat lelaki lain yang merupakan pelanggan masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM2,000.
Menurutnya, pusat gimnasium yang terletak di Jalan Bagan Luar, Butterworth itu dikesan beroperasi ketika anggota Task Force Balai Butterworth menjalankan penugasan Ops Pematuhan SOP PKP 3.0 pada jam 5.40 petang Selasa.
"Ketika pemeriksaan di gim tersebut, kita mendapati ia beroperasi dan terdapat lima lelaki berada di dalam premis berkenaan. Salah seorang merupakan pemilik gim, manakala empat lagi merupakan pelanggannya.
"Kesemua mereka yang berusia lingkungan 36 hingga 52 tahun itu didapati telah melanggar SOP dengan melakukan aktiviti yang dilarang ketika PKP 3.0. Oleh itu, kesemua mereka dikenakan kompaun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, pemilik gimnasium yang sudah dua tahun membuka perniagaan itu memberi alasan membuka premis berkenaan kerana permintaan pelanggannya itu.
"Ketika ditanya, dia mengaku membuka perniagaan itu mengikut kepada permintaan pelanggannya sepanjang pelaksanaan PKP 3.0 ini. Pemeriksaan juga mendapati seorang pelajar sekolah turut berada di premis tersebut, namun tiada kompaun dikeluarkan ke atasnya.
"Disebabkan dia pelajar sekolah, kita hanya memberi amaran sahaja. Tindakan kompaun diambil mengikut Peraturan PU(A) 265, Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (NO.3) 2021," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!