Israel bom Gaza, cabul gencatan senjata
GENTING GAZA - Jet Israel kembali melancarkan serangan udara ke atas beberapa sasaran di Semenanjung Gaza awal hari ini.
Agensi Quds News Network berkata, serangan sekitar jam 1 pagi (waktu tempatan) itu menyasarkan kem latihan pejuang Palestin di utara Khan Younis.
Setakat ini tiada kematian membabitkan orang awam dilaporkan.
Serangan terbaharu rejim Zionis itu adalah yang pertama sejak Israel-Hamas mengumumkan gencatan senjata kira-kira empat minggu lalu bagi mengakhiri konflik 11 yang menyaksikan serangan berterusan di Semenanjung Gaza.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan mengesahkan serangan tersebut.
Menurut IDF, pengeboman itu sebagai membalas terhadap serangan belon berapi ke selatan Israel dari beberapa lokasi di Gaza.
Belon api itu dilepaskan semasa kira-kira 1,000 penduduk Yahudi berarak di Kota Lama Baitulmuqaddis pada Selasa sempena menyambut kemenangan Rejim Zionis menakluki Baitulmuqaddis Timur dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967.
Semasa perarakan, penduduk Yahudi turut melaungkan slogan 'kematian untuk orang Arab' dan beberapa lagi slogan rasis.
Perarakan penuh kontroversi itu mendapat tentangan rakyat Palestin.
Serangan ganas Israel di Gaza bulan lalu menyaksikan sekurang-kurangnya 254 rakyat Palestin termasuk 66 kanak-kanak. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!