Ada hikmah tangguh ibadah haji

Anisah
Anisah
A
A
A

SHAH ALAM - Penangguhan ibadah haji pada kali ini pasti mempunyai hikmahnya tersendiri meskipun ia merupakan ujian yang berat bagi bakal jemaah.

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji (TH) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr Anisah Abdul Ghani berkata, penangguhan tersebut harus dilihat kepada syarat wajib untuk menunaikan ibadat haji iaitu berkemampuan atau istito’ah selain daripada beragama Islam, baligh, berakal dan merdeka.

Menurut beliau, seseorang itu tidak wajib dan tidak berdosa jika tidak mampu dari segi kewangan, kesihatan, keselamatan dan kebenaran atau kuota menunaikan ibadat haji.

“TH sebelum ini telah mengadakan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK) ke-37 pada 21 hingga 23 Disember 2020 dengan tema ‘Menghayati Istito’ah Haji Dalam Menangani Wabak’ yang dijalankan secara virtual (dalam talian) dengan dihadiri lebih 500 peserta dalam kalangan para ulama dan cendekiawan Islam.

“Di akhir persidangan muzakarah tersebut, 17 resolusi telah dihasilkan untuk menjadi panduan dan rujukan umat Islam di Malaysia sebelum dan ketika menunaikan ibadat haji di musim wabak seperti Covid-19.

“Kewajipan haji banyak berkaitan dengan kemampuan seseorang, apatah lagi semasa musim wabak. Ini adalah disebabkan sifat rahmah dan kasih sayang ALLAH terhadap hambanya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, antara resolusi MHPK ke-37 adalah berkaitan istito’ah amniah (keamanan dan keselamatan) dalam ibadat haji merangkumi keselamatan dalam aspek nyawa, harta, kehormatan, kesihatan, perjalanan, tempat tinggal di Tanah Suci dan pelaksanaan ibadah haji.

Jelas beliau, muzakarah juga telah memutuskan bahawa pihak kerajaan berhak mengehadkan bilangan atau tidak membenarkan bakal jemaah haji menunaikan fardu haji ketika wabak sekiranya ia membawa kemudaratan kepada masyarakat dan negara.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai seorang Muslim yang beriman kita perlu yakin bahawa setiap yang berlaku di dalam kehidupan di dunia ini pasti akan memberi kebaikan kepada diri kita sendiri sekiranya kita bersyukur dan bersabar,” katanya.

No Image Caption

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!