Raja-raja Melayu bertanggungjawab main peranan keperlembagaan
SHAH ALAM – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat Raja-raja Melayu bertanggungjawab memainkan peranan keperlembagaan yang dianggap penting ketika negara berada dalam keadaan genting.
Menurut beliau, peranan itu timbul selaras dengan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong di hadapan Raja-raja Melayu yang memilih Seri Paduka Baginda mewakili Majlis Raja-raja Melayu dan ia wujud selaras dengan sumpah jawatan terbabit.
“Tanggungjawab ini memerlukan pemilihan seorang pemimpin tanpa kepentingan peribadi, parti politik mahupun pertimbangan peribadi.
“Pemimpin tersebut semestinya mempunyai kemampuan, keupayaan, visi dan pemahaman mendalam mengenai keadaan semasa demi memimpin kerajaan yang mampu membantu kita mengatasi keadaan teruk yang melanda rakyat sekarang,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Pandangan yang dikemukakan pemimpin politik ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sejak Rabu lepas hingga Selasa akan disembah maklum kepada Raja-raja Melayu dalam satu perbincangan khas di Istana Negara.
ARTIKEL BERKAITAN: Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berlangsung hari ini
Agong gusar kes Covid-19 semakin meningkat
Muhyiddin tiba di Istana Negara untuk menghadap Agong
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, beberapa pakar dari agensi kerajaan akan memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara pada Perbincangan Khas Raja-raja Melayu yang dijadualkan berlangsung pada 2.30 petang Rabu.
Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh atau dikenali sebagai Ku Li berkata, pada masa ini negara menghadapi krisis bertubi-tubi yang tidak pernah berlaku sebelum ini seperti sistem ekonomi merudum dan mengalami krisis berkaitan keperluan asas seperti bekalan makanan, keadaan kesihatan serta isu keselamatan.
Tegas beliau, negara mempunyai dua pilihan dalam menghadapi krisis sekarang ini sama ada menghadapinya dan menyelesaikan kesemua masalah atau menempuh kegagalan.
“Sedia maklum bahawa kepimpinan mempunyai hubung kait rapat dengan kemajuan negara dan kehidupan rakyat yang baik.
“Lipatan sejarah banyak merakamkan kegagalan kepimpinan. Kita tidak harus memberi ruang kepada kegagalan,” katanya.
Sementara itu, Tengku Razaleigh berkata, terdapat tiga kekurangan Dewan Rakyat yang ditauliahkan oleh perlembagaan sebagai penentu muktamad untuk memilih Perdana Menteri daripada kalangan wakil rakyat.
“Pertamanya ia tidak berfungsi secara menyeluruh oleh kerana sebahagian wakil rakyat mempunyai kepentingan kewangan sama ada secara terbuka atau senyap dan hilang kelayakan mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.
“Kedua, Dewan Rakyat kini dalam keadaan tergantung dan tiada pihak mempunyai majoriti untuk membuat keputusan.
“Dan ketiga terdapat ahli-ahli yang tidak menepati peruntukan perlembagaan berkaitan dengan pemilihan mereka. Ini merupakan penipuan terhadap perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata, tidak terdapat peruntukan di dalam perlembagaan atau mana-mana undang-undang untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Kini perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat mengenai keadaan semasa semakin tebal walaupun ia tidak disuarakan oleh mereka.
“Gelombang sepi ini mencerminkan kehilangan keyakinan oleh rakyat terhadap pemimpin mereka. Kita tidak harus membenarkan keadaan ini membiak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!