Pemandu maut, lori terbabas langgar tiang elektrik
LUMUT - Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas melanggar tiang elektrik di Jalan Ipoh - Lumut berhampiran simpang Kampung Sitiawan di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa dikenali sebagai S Elangeswaran, 43, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati punca kemalangan dipercayai akibat terbabas sendiri.
"Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Ipoh menghala ke Lumut.
"Apabila sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba kenderaan yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas melanggar tiang elektrik berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Menurutnya, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala.
"Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!